Kenaikan ringgit tak bertahan lama

KUALA LUMPUR: Kenaikan nilai ringgit yang dicatat semalam tidak bertahan lama dan dibuka rendah pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila pelabur kembali mendapatkan mata wang selamat berikutan kebimbangan baharu terhadap ketidaktentuan semasa dalam sentimen pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada 9.01 pagi, ringgit diniagakan pada 4.3035/3090 berbanding dolar AS daripada 4.2960/3005 pada penutup Rabu.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pelabur bimbang dengan inflasi yang sangat tinggi di Eropah dan ramai yang mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ menjelang keluaran Unjuran Ekonomi Kesatuan Eropah (EU) serta butiran selanjutnya daripada Sidang Kemuncak Pemimpin EU.

“Terdahulu, Bank Pusat Eropah (ECB) berkata jangkaan adalah bahawa usaha memerangi inflasi masih akan mengambil masa manakala kadar faedah boleh kekal tinggi lebih lama daripada yang dijangkakan sebelum ini,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2435/2479 daripada penutup Rabu pada 3.2472/2511 tetapi mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2724/2768 daripada 3.2872/2909 semalam.

Ringgit turut menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.1922/1988 daripada 5.1990/2045 pada hari Rabu dan meningkat berbanding euro menjadi 4.6116/6175 daripada 4.6203/6252 sebelumnya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker