Real Madrid ke final Piala Dunia Kelab

RABAT: Real Madrid mara ke final Piala Dunia Kelab menerusi kemenangan 4-1 mengatasi juara Mesir, Al Ahly awal pagi tadi di Maghribi hasil jaringan Vinicius Junior, Fede Valverde, Rodrygo dan Sergio Arribas.

Juara Eropah itu mendahului sebelum tamat babak pertama menerusi Vinicius dan Valverde meledak sejurus bermula babak kedua.

Madrid melalui tempoh yang tidak mereka mahukan selepas Ali Maaloul memberikan pemenang Liga Juara-Juara Afrika 10 kali itu gol hasil sepakan penalti.

Luka Modric pula gagal menyempurnakan penalti lewat buat Los Blancos yang mungkin disebabkan terganggu dengan pancaran laser di mukanya ketika Mohamed El Shenawy menyelamatkan sepakan itu.

Rodrygo menambah jaringan pada waktu kecederaan hasil gandingan dengan Dani Ceballos manakala pemain remaja, Arribas melengkapkan kemenangan.

Madrid akan berdepan wakil Arab Saudi, Al-Hilal, yang menewaskan pemenang Copa Libertadores, Flamengo pada aksi final Sabtu ini.

“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu saya pada ketika ini, yang tidak begitu bagus ketika ini,” kata Valverde yang berdepan masalah peribadi.

“Mereka sentiasa ada di sana untuk memberikan kata-kata semangat.

“Adalah sesuatu yang istimewa dapat menjaringkan gol dan meraikan dengan mereka, kini kami perlu berehat dan bekerja keras untuk menang final.”

Skuad kendalian Carlo Ancelotti yang menang rekod empat kali Piala Dunia Kelab, berharap kejohanan berkenaan akan mengalihkan seketika pergelutan mereka dalam aksi domestik.

Pada Ahad ini mereka boleh ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona selepas kalah 1-0 di Real Mallorca.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker