Tak boleh lagi harapkan aset ‘lapuk’ jaga kedaulatan negara

Kuala Lumpur: Perlunya aset pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ada antaranya menjangkau usia lebih 4 dekad diganti dengan kelengkapan lebih moden.

Mantan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, kerajaan baharu dibentuk kini diharapkan mampu melihat lebih jauh soal keperluan menggantikan aset pertahanan negara ini.

Menurutnya, Bajet 2023 yang akan dibentang semula tidak lama lagi perlu melihat kepada isu berkenaan yang pernah dibangkitkannya sebelum ini.

“Pandangan saya tetap konsisten sama ada semasa saya masih PTL atau mantan PTL kini. Saya pernah berulang kali menerangkan bahawa landskap keselamatan (security landscape) di peringkat global dan serantau sudah banyak berubah.

“Keadaan ini memerlukan bajet pertahanan negara dikaji semula. Dalam konteks ini, saya menekankan tiga perkara iaitu kerajaan perlu memastikan projek kapal tempur pesisir (LCS) diteruskan dan disiapkan dengan jayanya.

“Kedua, kerajaan perlu menyediakan peruntukan sewajarnya supaya projek perolehan kapal kumpulan kedua Kapal Misi Pesisir (LMS) dapat direalisasikan dalam masa terdekat dan sebelum terlambat,” katanya.

Selain itu beliau menyarankan, bajet ATM perlu dikaji semula supaya ia lebih sesuai dengan landskap keselamatan semasa.

“Dalam konteks ini, ia hendaklah ditingkatkan dari tahap sekarang ke tahap lebih realistik iaitu sekitar 1 hingga 1.5 peratus dari Keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“ATM atau pertahanan negara sudah begitu lama diabaikan. Saya berharap kerajaan kali ini mengambil peluang untuk mengubah keadaan itu,” katanya.

Mohd Reza sebelum ini giat memperjuangkan isu aset TLDM usang sepanjang perkhidmatannya bermula 30 November 2018.

Antara diberikan perhatian adalah inisiatif Obsolescence Programmme (OP) dan Program Repowering bertujuan menggantikan struktur (badan kapal) serta keseluruhan sistemnya kecuali beberapa peralatan legasi seperti meriam membabitkan aset usang TLDM.

Beliau turut memperkenalkan Program Repowering bertujuan menggantikan sistem kuasa gerak seperti enjin, kotak gear dan propeller, serta sistem jana kuasa bagi kapal dari skuadron FAC (G).

Sebanyak lapan kapal TLDM sudah selesai menjalani Program Repowering ketika beliau menjadi Laksamana TLDM..

Hasil kedua-dua program ini bukan sahaja meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara.

Mohd Reza sebelum ini menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob pada 27 Januari lalu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker