Zeti akan terus nikmati “cuti bersalin” lebih lama?
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Zeti Aziz, nampaknya akan terus menikmati “cuti bersalin” lebih lama kerana masih tidak dibawa ke Mahkamah sebagai saksi kes 1MDB.
Beliau merupakan bekas Gabenor Bank Negara dan suaminya, Tawfiq Ayman bukan sahaja disiasat malah telah disahkan oleh pihak berkuasa Singapura terlibat dalam skandal 1MDB.
Singapura telah memulangkan ke Malaysia sejumlah AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB yang melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq Ayman – suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.
Zeti, yang merupakan saksi dalam perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak, sebelum ini berkata dakwaan terhadapnya dan keluarganya adalah palsu dan berniat jahat dan mereka tidak pernah menerima dana 1MDB. – Laporan berkaitan wang 1MDB pada 19/11/2021
Zeti yang dinamakan sebagai antara saksi utama kes tersebut, berjaya untuk mengelak dari hadir ke Mahkamah dengan berbekalkan sijil cuti sakit selama 2 hari.
Bagaimanapun, sejak itu beliau langsung tidak kelihatan di Mahkamah walau kes 1MDB dijalankan.
Ramai rakyat secara sinis menyindir ketidakhadiran Zeti kerana beliau “bersalin” dan memerlukan tempoh berpantang yang agak lama.
Namun tempoh berpantang yang diambil Zeti sangat panjang sehingga ada netizen yang menghadiri sesi Mahkamah berkait kes 1MDB hari ini menulis di media sosial mengenai ketidakhadiran Zeti.
Pada 23 November 2022, Mahkamah dimaklumkan, Zeti tidak dapat hadir ke Mahkamah kerana sakit.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib saksi penting dalam perbicaraan itu mendapat cuti sakit akibat demam panas, vertigo dan muntah.
“Saya menerima pesanan teks daripada pegawai penyiasat (IO) sekitar 11.56 pagi ini memaklumkan bahawa Tan Sri Zeti yang sebelum ini saya maklumkan akan datang esok.
“Saya telah memaklumkan melalui peguamnya kepada IO bahawa beliau tidak sihat dan mendapat cuti sakit selama dua hari,” – Ahmad Ikram – KOSMO – 23/11/2022
Jika dihitung sejak 23 November sehingga hari ini sudah 77 hari berlalu dan Zeti masih tidak membuat kemunculannya di Mahkamah.
Ini menimbulkan persoalan, adakah Zeti memang dibenarkan berbuat demikian atau ada sebab munasabah yang boleh dijadikan alasan untuk beliau tidak hadir ke Mahkamah?
Zeti sebelum ini dilaporkan dalam keadaan ceria ketika menghadiri satu majlis di Ibu Negara.
Apa istimewa Zeti sehingga boleh mengelak dari hadir ke Mahkamah sebagai saksi kes 1MDB? Kemusykilan ini bermain di semua platform media sosial dan di kalangan netizen namun tiada jawapan spesifik dapat ditemukan.