Skuad kami paling kecil di EPL – Guardiola
Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mendakwa skuadnya paling kecil dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Guardiola membuat kenyataan itu selepas mereka mencatat kemenangan ke atas Aston Villa menyaksikan City hanya kurang tiga mata dengan pendahulu, Arsenal.
Jaringan Rodri dan Ilkay Gundogan serta sepakan penalti Riyad Mahrez membolehkan mereka mencatat kemenangan 3-1 tatkala penyandang juara itu berdepan dengan 100 lebih pelanggaran peraturan kewangan EPL dari 2009 hingga 2018.
City membelanjakan hampir £2 bilion (RM10 bilion)
untuk mendapatkan pemain sejak Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan dari Abu Dhabi menjadi pemilik pada 2008 sebelum memenangi enam kejuaraan EPL.
Skuad Guardiola sekarang bernilai €1.05 bilion (RM5.51 bilion) berdasarkan maklumat yang dikeluarkan di laman web transfermarkt dan pada pagi tadi mereka memulakan saingan dengan pemain antarabangsa England, Kalvin Phillips dan Phil Foden serta penyerang Argentina, Julian Alvarez berada di bangku simpanan.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol itu mendakwa beliau bekerja dengan skuad kurang daripada 20 pemain ketika mereka mengejar pendahulu liga, Arsenal dan cuba memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama.
“Kami hanya mempunyai 18, 19 pemain. Skuad kami sangat, sangat kecil, mungkin yang terkecil dalam EPL setakat ini,” kata Guardiola kepada Sky Sports.
“Adalah penting kami tidak mengalami kecederaan tetapi kami mempunyai metodologi yang luar biasa untuk latihan untuk menguruskan keletihan dan mengelak kecederaan.
“Kami mempunyai doktor dan fisio yang luar biasa. Saya berjuang untuk itu selama bertahun-tahun.”
City akan menghadapi suruhanjaya bebas untuk menjawab 115 pertuduhan yang dibawa oleh EPL, sejak 2009.
Jika didapati bersalah City, dalam senario terburuk, mungkin berdepan pemotongan mata atau malah diturunkan ke divisyen bawah dengan Guardiola berkata minggu ini bahawa kelab itu sudah dikecam.
Reuters