Bursa Malaysia teruskan momentum peningkatan
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kenaikan yang dipamer semalam dan dibuka lebih tinggi pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi positif semalaman Wall Street di tengah-tengah sentimen pasaran yang rancak merentas semua pasaran serantau.
Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 2.77 mata kepada 1,477.94 daripada penutupan Isnin pada 1,475.17.
Indeks utama itu memulakan dagangan dengan 1.96 mata lebih baik pada 1,477.13.
Pergerakan harga di pasaran positif menyaksikan kaunter untung mendahului kaunter rugi 202 berbalas 123, manakala 270 kaunter tidak berubah, 1,592 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 261.37 juta unit bernilai RM98.36 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran saham AS meneruskan kerancakan dengan indeks Dow Jones meningkat 1.1 peratus menjelang pengeluaran data inflasi utama yang dijangka menunjukkan penurunan selanjutnya.
Dengan lantunan semula secara meluas di Wall Street semalaman, pasaran mungkin mengambil tempat lebih awal daripada keluaran laporan inflasi IHP bulan Januari, dengan kebanyakan peniaga menjangkakan inflasi yang lebih rendah, katanya.
“Justeru, kami percaya sentimen kenaikan harga kemungkinan melimpah ke pasaran serantau serta bursa tempatan, terutamanya dalam sektor teknologi. Dari segi komoditi, minyak mentah Brent diniagakan melebihi AS$85 setong, manakala minyak sawit mentah berlegar melepasi RM3,900 satu tan,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota.
Untuk tumpuan sektor, Malacca Securities kekal positif pada sektor pembinaan, bahan binaan dan tenaga boleh diperbaharui sebelum pembentangan semula Belanjawan 2023.
Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat 3.0 sen untuk merekodkan RM8.80 dan RM8.11, Public Bank naik 1.0 sen kepada RM4.20, CIMB tidak berubah pada RM5.44 dan Tenaga Nasional turun 3.0 sen menjadi RM9.88.
Bagi saham aktif, Hong Seng dan Pesona Metro masing-masing menokok 1.0 sen kepada 21 sen dan 31 sen, Visdynamics meningkat 3.0 sen kepada RM1.06, dan CSH Alliance susut 1.5 sen menjadi 5.0 sen, manakala Iris dan Aimflex tidak berubah pada 11.5 sen dan 15.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 18.74 mata kepada 10,752.51, Indeks FBMT 100 meningkat 19.06 mata menjadi 10,422.63 dan Indeks FBM 70 menambah 22.76 mata kepada 13,563.19.
Indeks FBM Emas Syariah pula mengukuh 18.34 mata kepada 11,039.61.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 8.09 mata kepada 6,846.96, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.42 mata menjadi 188.42, Indeks Tenaga naik 0.82 mata kepada 898.85, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan peroleh 29.93 mata kepada 16,180.89.
BERNAMA