Spurs hadapi masalah besar
Milan: Tottenham Hotspur akan berdepan masalah lebih besar jika mereka terus berdepan krisis kecederaan, menurut jurulatih Antonio Conte menjelang aksi peringkat pertama saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang AC Milan awal pagi esok.
Conte yang kembali bersama pasukan ketika Spurs tewas di Leicester City selepas pulih pembedahan pundi hempedu membawa skuad tempang ke San Siro.
“Beraksi di Liga Perdana (EPL), Liga Juara-Juara dan Piala FA memang sangat sukar,” katanya ketika sidang akhbar awal pagi tadi.
“Pada masa sama kami perlu mengelak kecederaan,” kata pengendali dari Itali itu.
Spurs kehilangan kapten dan penjaga gol Hugo Lloris akibat kecederaan lutut yang memaksanya berehat sekurang-kurangnya enam minggu.
Manakala pemain tengah Ryan Sessegnon (masalah hamstring), Rodrigo Bentancur yang mengalami kecederaan ligamen ketika tewas 1-4 di Leicester dan Yves Bissouma menjalani pembedahan buku lali kiri Jumaat lalu kesemuanya tidak dapat beraksi.
“Dalam tempoh tujuh hari lalu, empat pemain kami alami kecederaan serius. Saya fikir kekal bersatu sangat penting dan dalam situasi ini saya cuba mencipta semangat yang betul,” kata Conte.
Reuters