Coman hero Bayern atasi PSG

PARIS: Kingsley Coman meledak gol tunggal perlawanan ketika Bayern Munich menewaskan Paris Saint-Germain 1-0 pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara sebentar tadi dengan jaringan penyamaan pemain gantian, Kylian Mbappe dinafikan kerana ofsaid.

Coman yang tidak dikawal menyempurnakan hantaran lintang Alphonso Davies lapan minit selepas bersambung babak kedua di Parc des Princes, sejurus sebelum Mbappe bersedia untuk masuk ke padang selepas kembali daripada kecederaan.

Mbappe dan keseluruhan stadium, merasakan mereka sudah menyamakan kedudukan berbaki lapan minit aksi selepas mendapat hantaran Nuno Mendes, namun gol berkenaan dibatalkan kerana pertahanan Portugal itu hanya sedikit melepasi pertahanan terakhir ketika bergerak.



Bayern menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Benjamin Pavard dibuang padang namun ia malam yang mengecewakan buat PSG.

Gergasi Perancis itu tampak lebih baik pada penghujung aksi ketika Mbappe berada di padang namun mereka juga memerlukan beberapa tindakan menyelamat baik Gianluigi Donnarumma bagi mengelak defisit lebih besar.

PSG kini berharap mereka boleh menukar keadaan pada pusingan kedua di Munich pada 8 Mac.



“Kami tiada kelebihan tetapi saya lihat kami boleh memberikan masalah buat mereka dan kini kami hanya perlu pastikan semua pemain cergas dan akan ke sana untuk cuba layak,” kata Mbappe dengan satu lagi gol dijaringkannnya juga ofsaid.

Coman, yang memulakan karier di Paris, tidak meraikan gol berkenaan namun ia adalah sejarah berulang kerana dia juga menjaringkan gol kemenangan apabila Bayern menewaskan kelab milik Qatar itu pada final 2020 di Lisbon seterusnya bergelar juara Eropah buat kali keenam.

“Ia sedikit janggal. Saya membesar di kelab ini, di bandar ini, saya dilahirkan di sini, jadi adalah sukar untuk meraikannya tetapi pada penghujungnya kami amat gembira dengan kemenangan ini,” kata Coman.

Kecergasan Mbappe menjadi tajuk utama sebelum perlawanan dengan bintang Perancis itu sebelum itu diketepikan kerana kecederaan paha namun kembali dengan pantas dalam latihan dan dinamakan dalam skuad.



Dia dinamakan dalam senarai simpanan manakala Warren Zaire-Emery, pada usia 16 tahun 343 hari menjadi pemain termuda pernah bermain pada aksi kalah mati Liga Juara-Juara.

Namun tiada apa dirisaukan Bayern pada babak pertama ketika Mbappe – penjaring tujuh gol dalam enam aksi peringkat kumpulan – memerhatikan aksi di luar padang manakala Lionel Messi dan Neymar nyata merasai kehilangannya.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button