Pastikan Ketua Pemuda Umno bukan ‘puppet’ Broker

Oleh – Bakhtiar Omar


Pastikan Ketua Pemuda bukan 'puppet' Broker

 



Pada pemilihan Ketua Pemuda Umno kali ini, para perwakilan perlu memastikan beliau bukan ‘puppet’ kepada mana-mana golongan ‘Broker’ yang boleh berpotensi merosakkan Umno.

Ini sangat penting bagi Umno untuk mara kehadapan tanpa membawa bersama ‘beban’ yang tidak sepatutnya.

Umno selepas pemilihan perlu dilhat sebagai sebuah institusi politik yang lebih baik dan bersedia untuk membuka ruang perdamaian dan penyatuan kembali semua penyokong dan ahli Umno itu sendiri.

Parti tidak boleh lagi mengambil risiko perpecahan ekoran pemilihan yang berlaku kerana ia hanya menyebabkan mudarat yang berlarutan.



Disebabkan itu, Ketua Pemuda Umno yang merupakan antara jentera parti paling ampuh dalam serangan politik perlu bebas dari cengkaman ‘Broker’ yang sedang cuba menyusun atur semua jawatan Umno bagi membolehkan doktrin mereka diterima Umno.

DOKTRIN PIHAK LAWAN PERLU DIKEKANG BAKAL KETUA PEMUDA UMNO

Apakah doktrin yang cuba diruangkan kepada perwakilan? Antara paling mudah ialah, Umno perlu bersama PPBM dan PAS serta gabungan Perikatan Nasional bagi membentuk sebuah Kerajaan Melayu yang paling dominan. 

Malah, para penunggang agama turut memainkan peranan menggunakan ‘dalil dalil’ bagi ‘menghalalkan’ serta ‘mengharamkan’ sesuatu mengikut keadaan semasa yang memihak kepada mereka.

Jika ditoleh sebentar, gerakan membawa Umno bersama PPBM telah digerakkan lebih awal oleh para ‘Broker’ dan tapak untuk permulaan ialah PRN Melaka. Percubaan mempengaruhi bahawa Umno/BN tidak mampu memenangi PRN Melaka didendangkan oleh beberapa nama besar dalam Umno ketika itu.



Malah, mereka cuba meyakinkan ahli serta penyokong Umno, tanpa kerjasama PPBM dan Perikatan Nasional, Umno tidak berdaya langsung dan akan kalah teruk.

UMNO BUKAN BARANG DAGANGAN UNTUK TUKARAN BERMEWAH

 

Pastikan Ketua Pemuda Umno bukan 'puppet' Broker

Manusia merancang, Tuhan menentukan. Perancangan golongan ‘Broker’ tidak kesampaian dan keputusan luar jangkaan mengajar ‘Broker’ bahawa Umno bukan barang untuk didagangkan.



Begitu juga apa yang berlaku di PRN Johor. Percubaan ‘Broker’ sekali menemui kegagalan dan ini menyebabkan para ‘Broker’ dipersalahkan atas kekalahan PN dan PH ketika itu.

Untuk menebus kesalahan, para ‘Broker’ memulakan ‘Plan B’ untuk menguasai Umno. Presiden dan Timbalan Presiden perlu disingkirkan waima apa cara sekalipun.

Usah menidakkan usaha ‘Broker’ berbuat demikian dalam Umno, jelas usaha tersebut dilakukan sehinggalah MKT mengambil tindakan tegas menyingkirkan ‘duri dalam daging’.

Jadi, keutamaan kini perlu ditekankan kepada sesiapa sahaja yang akan menjadi Ketua Pemuda Umno selepas ini. Beliau mestilah berperanan sebagai perisai kepada parti dari doktrin-doktrin berniat jahat yang boleh mengancam Umno dari dalam.



KETUA PEMUDA UMNO ‘WAJIB’ PERKASAKAN KEMBALI JENAMA PEMUDA

Pastikan Ketua Pemuda Umno bukan 'puppet' Broker

Pasukan Ketua Pemuda Umno juga perlu bebas dari sebarang pengaruh ‘Broker’ kerana kemungkinan dipengaruhi amat besar. Tumpukan kepada usaha memperkasakan kembali Pemuda Umno dan usaha membawa pengundi muda kembali meyakini Umno sebagai wadah politik mereka.

Ini tugas utama Ketua Pemuda Umno dan membawa solusi yang lebih mesra anak muda serta memberi ruang kepada mereka memberi pendapat untuk kemajuan negara.

Jangan menidakkan suara anak muda, jangan mencantas bakat baru kerana takut kedudukan tergugat, jangan gusar akan karier politik kerana dalam politik tidak ada yang kekal untuk selamanya.



Jadilah, bentuklah, acukanlah Pemuda Umno sebaiknya agar kekal relevan di mata serta hati semua rakyat dan politik tanahair.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button