United boleh jadi ‘aset baharu Arab’ di EPL

MANCHESTER, United Kingdom: Prospek pemilik baharu Manchester United ada masa sehingga Jumaat untuk menyatakan minat mereka membeli sebuah daripada kelab terbesar dunia dengan khabar angin bidaan dari Qatar mengejutkan bola sepak Eropah.

Pemilik United dari Amerika Syarikat (AS), keluarga Glazer membuka pintu untuk pelaburan baharu di kelab gergasi England itu pada November, dalam bentuk saham minoriti atau pengambilalihan sepenuhnya.

Jelas kurang popular dalam kalangan penyokong sejak membuat hutang besar £790 juta ketika mengambil alih kelab pada 2005, keluarga Glazers sudah bersedia untuk menjual bagi mendapatkan keuntungan besar.



Menurut laporan, mereka mahukan £6 bilion buat juara Eropah tiga kali itu, yang mampu memecahkan rekod dicipta untuk pembelian sebuah kelab bola sepak oleh Chelsea tahun lalu.

Sehinga kini, jutawan British, Jim Ratcliffe yang juga pemilik syarikat gengasi petrokimia, Ineos yang turut memiliki kelab Perancis, Nice sudah menyatakan secara terbuka sebagai pembeli berpotensi United.

Namun ia tidak dapat mengelak dakwaan bidaan yang mendapat sokongan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani.



Qatar sudah ada pengaruh yang kuat dalam bola sepak Eropah menerusi Paris Saint-Germain.

“Pelaburan Qatar dalam PSG amat berjaya tetapi tiada liga sukan di dunia yang memiliki pendedahan global seperti EPL (Liga Perdana Inggeris),” kata Danyel Reiche, profesor berhubungan antarabangsa Universiti Georgetown, Qatar.

“Justeru, minat mendapatkan Manchester United menjadikan ia tidak mustahil.”

Pemilikan terhadap United juga menawarkan Qatar peluang bersaing dengan jiran mereka, Abu Dhabi dan Arab Saudi yang memiliki pegangan dalam bola sepak England.



Pelaburan Abu Dhabi di Manchester City mengubah kelab itu menjadi kuasa besar di EPL apabila menang enam gelaran dalam 11 musim.

Newcastle United juga cemerlang di kedudukan keempat dan final Piala Liga pertama kali dalam 47 tahun hanya 16 bulan selepas menerima dana lumayan Arab Saudi.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button