Barcelona, United terikat di Camp Nou

PARIS: Barcelona dan Manchester United terikat 2-2 pada pusingan pertama play-off Liga Europa awal pagi tadi manakala Juventus turut kecewa selepas seri 1-1 berdepan Nantes.

Pertemuan di Camp Nou membawakan bersama aksi dua gergasi Eropah yang pernah dua kali bertemu di final Liga Juara-Juara pada 2009 dan 2011, yang masing-masing cemerlang pada aksi domestik ketika ini.

Selepas tiada jaringan disaksikan pada babak pertama, pendahulu La Liga, Barcelona berada di depan pada lima minit selepas babak kedua hasil tandukan Marcos Alonso.



Bagaimanapun United menyamakan kedudukan hanya tiga minit kemudian apabila Marcus Rashford menewaskan penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen di penjuru gawang yang juga gol ke-13 pemain itu dalam 15 aksi sejak Piala Dunia.

Pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kemudian mendahului sebelum sejam perlawanan menerusi gol sendiri Jules Kounde namun hantaran Raphinha menemui gawang pada 15 minit terakhir bagi memastikan keputusan seri buat Barca di depan lebih 90,000 penyokong.

“Saya rasa ia pertemuan yang hebat. Dua pasukan yang menyerang, saya rasa ia adalah perlawanan Liga Juara-Juara, lebih daripada itu,” kata bos United, Erik ten Hag kepada BT Sport.



“Kami perlu menamatkannya di Old Trafford.”

Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez merungut bahawa pasukannya sepatutnya diberikan kerana bola terkena tangan Fred.

“Ia penalti yang dicuri,” kata Xavi. “Saya tidak tahu kenapa mereka tidak meniup wisel untuk penalti kerana ia terkena tangan. Ia nampak menakjubkan bagi saya. Menakjubkan.”

Sementara itu, menang Liga Europa mungkin memberikan peluang terbaik buat Juventus untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan selepas mereka dibuang 15 mata dalam Serie A.



Hukuman itu kerana Persekutuan Bolasepak Itali mendapati berlaku aktiviti salah dalam fasa perpindahan, menyebabkan gergasi dari Turin itu mencipta jurang 12 mata daripada kelompok empat teratas liga.

Berdepan Nantes mereka tampak akan menang selesa apabila Federico Chiesa membuat hantaran lintang yang menemui Dusan Vlahovic untuk gol awal permainan.

Namun pemenang Piala Perancis, Nantes menyamakan kedudukan selepas sejam menerusi Ludovic Blas.

Rembatan Chiesa kemudian terkena tiang dan terkeluar.



Nantes juga terselamat selepas VAR melihat semula insiden terkena tangan namun pengadil sebaliknya memberikan sepakan percuma membuatkan Juventus perlu lebih bekerja keras pada perlawanan kedua.

Perlawanan lain menyaksikan Monaco bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 3-2 di tempat lawan berdepan skuad kendalian Xabi Alonso, Bayer Leverkusen dengan Axel Disasi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92.

Jaringan sendiri penjaga gol Leverkusen, Lukas Hradecky meletakkan Monaco di depan pada awal babak kedua dengan hanya jaringan babak kedua Moussa Diaby dan Florian Wirtz menukar keadaan.

Bagaimanapun Krepin Diatta membawa kembali pasukan dari ibu kota itu untuk menyamakan kedudukan sebelum jaringan kemenangan pertahanan Perancis, Disasi.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button