Denda jika cemar kesucian Ramadan

Kluang: Denda maksimum sehingga RM2,000 selain penjara hingga setahun, jika mencemar kesucian bulan Ramadan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Norliyati Md Nor berkata, sehubungan itu pihaknya mengingatkan kepada semua pemegang lesen atau permit sementara pemiagaan restoran, kedai dan gerai jualan makanan di bawah kawasan pentadbirannya mematuhi peraturan ditetapkan di sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, antara kesalahan yang boleh disabitkan termasuk menjual makanan dan minuman serta rokok kepada orang yang tidak berpuasa seperti termaktub di bawah Seksyen 15, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.



“MPK sudah mengeluarkan notis pemakluman kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya iaitu tidak menghormati Ramadan.

“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda Iain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu.

“Atau secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda Iain yang seumpamanya, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan dan undang-undang dikenakan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button