Rakyat Brazil beri penghormatan buat Pele

SANTOS, Brazil: Mereka datang dari seluruh Brazil, memenuhi bandar pelabuhan di tenggara dekat Santos bagi memberikan penghormatan terakhir buat hero bola sepak terhebat yang menawan hati dari negara “permainan cantik”: Pele.

Barisan sepanjang dua kilometer kelihatan di luar Stadium Vila Belmiro, gelanggang rasmi Santos FC, kelab Pele bermain dalam sebahagian besar kariernya – dan mengadakan majlis memperingati selama 24 jam selepas kematiannya pada Khamis lalu pada usia 82 tahun.

Sambil memakai jersi Santos berwarna hitam, Pedro Stolber dan isterinya, Clady, antara yang pertama berbaris di luar stadium, selepas melakukan perjalanan dari bandar di selatan, Parana sehari selepas kematian Pele.

“Tiada perkataan boleh menggambarkannya. Dia membawa semua makna terhadap bola sepak,” kata Pedro, 71, seorang juruteknik kejuruteraan perubatan kepada AFP.



“Sangat mengharukan melihat semua orang memberi penghormatan kepadanya. Dia ialah Raja,” kata Clady, 67.

Sebahagian besar mereka yang hadir memakai jersi hitam dan putih Santos, yang dijadikan popular seluruh dunia oleh Pele.

Dilabelkan sebagai pemain bola sepak terhebat dunia sepanjang zaman, Pele menjaringkan 1,091 daripada 1,283 gol sepanjang 18 tahun bersama Santos, tempat dia membuat penampilan pertama secara profesional pada 1956 ketika berusia 15 tahun.

Selebihnya dijaringkan bersama pasukan kebangsaan Brazil – dengan dia menang tiga Piala Dunia – dan New York Cosmos, tempat dia beraksi selama dua tahun sebelum bersara pada 1977.



Cristian Abreu, 16, berbaris di luar stadium stadium pada jam 6.30 pagi walaupun Pele sudah bersara tiga dekad ketika dia dlahirkan.

“Saya tidak pernah dapat melihatnya bermain, tapi dia adalah legenda dengan seribu gol. Dia adalah mitos, dia amat besar bagi saya,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker