Sorok syabu RM5.4 juta dalam lori perabot terpakai

KUALA KRAI: Helah tiga beradik disyaki menyembunyikan 150 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM5.4 juta di sebalik perabot terpakai dalam sebuah lori, gagal apabila diberkas polis, di sini, semalam.

Kesemua suspek lelaki berusia 24 hingga 45 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis di dua lokasi berasingan di Kampung Tengah dan Kampung Kenor, kira-kira jam 7.50 pagi, ketika mereka dipercayai dalam perjalanan membawa bekalan terlarang itu dari sempadan Kelantan ke Lembah Klang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata tangkapan dilakukan selepas pasukan mengesan sebuah lori membawa muatan perabot terpakai dan sebuah kereta Honda City berada dalam keadaan mencurigakan.

“Kita mula mengekori kedua-dua kenderaan terbabit dari Ketereh sebelum tangkapan dilakukan serentak di dua lokasi di Kuala Krai.



“Pasukan mendapati kereta Honda City itu dipandu seorang lelaki dipercayai berperanan untuk memantau lokasi, manakala sebuah lori pula dinaiki dua beradiknya.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori terbabit, pasukan menjumpai beberapa plastik hitam mengandungi keseluruhan 150 peket bertulis ‘refined chinese tea’ dipercayai berisi dadah jenis syabu seberat 150kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan polis mendapati lori yang digunakan suspek untuk membawa dadah berkenaan adalah milik keluarga mereka.

“Berdasarkan hasil siasatan awal, tiga beradik itu disyaki berperanan sebagai ‘transporter’ dan kita percaya ini bukan kali pertama mereka membawa bahan terlarang itu.



“Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan ke Lembah Klang. Sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan seramai 1.5 juta penagih.

“Polis turut menyita sebuah kereta dan lori bernilai lebih RM16,000 untuk siasatan lanjut. Hasil semakan juga mendapati dua suspek yang berusia 24 dan 45 tahun mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengesan sindiket dadah terbabit, dan kesemua suspek direman selama tujuh hari, bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker