‘Tengku Zafrul jadi saksi SPRM kes Jana Wibawa’

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu dana Jana Wibawa, semalam.

Katanya, beliau akan terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) kepada SPRM lewat petang semalam.

“Saya akan terus memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berkuasa jika diperlukan. Terima Kasih,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.



Tengku Zafrul meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan program itu.

Kelmarin, SPRM dalam kenyataan, berkata suruhanjaya itu akan memanggil Tengku Zafrul yang juga bekas Menteri Kewangan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung projek Jana Wibawa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan dipanggil dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, sepanjang pengetahuannya semasa menerajui Kementerian Kewangan sebelum ini, tiada ‘perbelanjaan’ yang tidak sepatutnya berlaku.



“Tapi itu setakat pengetahuan saya, biarlah SPRM buat siasatan mereka,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan dan beliau sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pagi ini, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, didakwa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Dua pertuduhan ke atas Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 September 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala Wan Saiful diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker