MAM sokong usaha KBS buka semula sektor sukan, rekreasi


Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir (Gambar fail)

08/02/2021 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) menyokong penuh usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membuka semula sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir menganggap perkembangan itu tepat pada masanya dan turut memberi dorongan kepada aktiviti industri sukan permotoran tempatan yang tergendala sejak pelaksanaan PKP bulan lepas.



Beliau berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat memberikan pertimbangan menyeluruh dan menyenaraikan sukan permotoran sebagai salah satu sukan yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

“Semasa PKP Pemulihan (PKPP), industri sukan permotoran beroperasi di kawasan terbuka di bawah garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kami berharap MKN melihat sukan permotoran seperti sukan lain yang akan dibenar beroperasi berdasarkan garis panduan baharu yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MAM hari ini.

Menurut kenyataan itu, industri sukan permotoran tidak terkecuali seperti sukan dan perniagaan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sehingga menyaksikan banyak kejohanan perlumbaan terpaksa dibatalkan.



Mokhzani berkata jika aktiviti sukan permotoran terus dilarang, ia bukan sahaja memberi impak negatif khususnya kewangan penggiat industri, malah membantutkan pembangunan akar umbi sukan permotoran di dalam negara.

“MAM akan memastikan bahawa kejohanan sukan permotoran mematuhi garis panduan baharu yang ditetapkan oleh pihak kementerian dan kita bersama-sama menangani dan memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya.

Selasa lepas, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata isu mengenai sektor tersebut telah dibawa ke mesyuarat Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Reezal Merican meluahkan keyakinan bahawa bakal ada sinar buat penggiat sektor sukan dan rekreasi dalam masa terdekat, walaupun PKP dilanjutkan sehingga 18 Feb ini.

— BERNAMA

KBS beri sumbangan peribadi kepada Kasma Daniel, bukan penajaan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker