Tiada keperluan bawa pulang rakyat Malaysia di Iran, Jordan, Lubnan setakat ini

Oleh – Syeikh Baran


Tiada keperluan bawa pulang rakyat Malaysia di Iran, Jordan, Lubnan setakat ini
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Gambar fail

Tiada keperluan mendesak untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Iran, Jordan dan Lubnan susulan konflik yang berlaku antara Iran dan Israel, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Wisma Putra sentiasa memantau perkembangan di rantau berkenaan dan sedia membawa pulang semua rakyat Malaysia jika mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 

“Ramai orang bertanya mengenai (situasi) rakyat Malaysia di Iran, Jordan dan Lubnan. Di Iran tak ramai hanya 38 orang saja termasuk staf kedutaan, manakala di Jordan ramai rakyat Malaysia, kebanyakannya pelajar, ada lebih 2,000 orang dan setakat ini tak ada apa-apa masalah



“Di Lubnan pula ada lebih 800 orang, kebanyakannya tentera pengaman kita di sana, jadi tidak ada masalah yang mendesak setakat ini untuk membawa pulang warga kita,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Luar di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thilinadan.

Iran sebelum ini melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, termasuk tujuh penasihat tentera.

Beberapa peluru berpandu dilaporkan melanda dalam wilayah Israel, satu daripadanya merosakkan kemudahan ketenteraan Israel di selatan negara itu.



Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia berharap konflik terbabit dapat diredakan kerana tidak mendatangkan kebaikan kepada dunia.

Beliau berkata, konflik itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk dunia melupakan tanggungjawab membela nasib rakyat Palestin.

“Kita tidak mesti mengalih pandangan daripada kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin, yang ditindas, dibunuh dan kampung halaman mereka dirampas lebih 75 tahun lalu,” katanya.

Ditanya mengenai situasi rakyat Malaysia di Dubai susulan banjir yang melanda bandar raya terbabit, Mohamad berkata, tiada rakyat Malaysia yang terjejas.



“Kita harap Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai dapat pulih kembali. Konsulat (kita) di Dubai sentiasa berhubung dengan Wisma Putra dan tiada rakyat Malaysia terjejas ekoran bencana itu,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button