Arca kuda, burung raja udang hiasi Kuantan Art Street

Kuantan: Arca kuda dan burung raja udang yang dibuat menggunakan 1,200 kilogram (kg) bahan terbuang menjadi tarikan terbaharu lokasi pelancongan Kuantan Art Street, di sini.

Hasil kreatif berkenaan yang dilekatkan pada dinding bangunan di kawasan itu adalah karya pensyarah dan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menerusi projek Waste To Art.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid berkata, karya kreatif itu mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan selepas proses pengumpulan bahan kitar semula dijalankan.

“Arca kuda yang seperti melompat keluar dari dinding itu dihasilkan daripada pelbagai bahan buangan seperti sisa automotif dengan berat dianggarkan mencecah sehingga 300 kg.



“Manakala arca burung raja udang pula dihasilkan daripada barangan terbuang antaranya besi, rim, roda basikal, kipas angin, botol, barangan plastik dan loyang kuih yang sudah diproses dengan berat keseluruhan dianggar 900 kg.

“Kedua-dua arca ini dilapisi semburan bahan 2K bagi mengatasi faktor kepudaran dan kehausan untuk jangka masa tiga hingga lima tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kerja-kerja seni berkenaan turut mendapat kerjasama SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Menurutnya, kaedah penghasilan dua karya seni itu bertemakan fauna menggabungkan barangan kitar semula yang diolah sebelum dilekat dan dicantumkan membentuk imej tiga dimensi (3D) atau arca relif.

Katanya, pereka memaklumkan arca kuda dihasilkan dengan mengambil ilham daripada hobi dan minat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang amat sinonim dengan aktiviti berkuda.

“Berilhamkan idea terbabit, objek kuda menjadi pilihan dalam memvisualkan arca seni kepada realiti, manakala arca burung raja udang pula kerana banyak berterbangan di sekitar Sungai Kuantan,” katanya.

“Usaha ini seiring dengan hasrat MBK untuk menarik kedatangan pelancong melalui pelbagai inisiatif antaranya menceriakan lorong belakang deretan bangunan lama yang berada di Jalan Mahkota dan Jalan Besar melalui penghasilan Kuantan Art Street,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker