Bursa Malaysia catat kenaikan kecil pagi ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang lebih kukuh semalaman.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.90 mata kepada 1,458.55 daripada penutup Khamis pada 1,457.65

Indeks utama dibuka pada 1,458.66, mengukuh sedikit sebanyak 1.01 mata.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 162 berbanding 145, manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,708 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.



Jumlah dagangan berjumlah 179.01 juta unit bernilai RM85.88 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan kemunculan beberapa kegiatan memburu saham murah hari ini selepas berlakunya penjualan baru-baru ini selain mengunjurkan indeks penanda aras melonjak dalam julat antara 1,460 hingga 1,475.

“Minat belian mungkin kembali kepada saham telekomunikasi selepas penjualan yang kukuh semalam,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata, peserta pasaran juga sedang menantikan pembentangan semula Belanjawan 2023 petang ini.

Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa – Maybank naik dua sen kepada RM8.71, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah satu sen kepada RM4.13 dan RM7.81.

Digi kekal pada RM4.27, manakala CIMB dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM5.46 dan RM5.88.

Bagi kaunter aktif, Hong Seng Consolidated dan Vinvest naik setengah sen setiap satu untuk mencatatkan harga 15.5 sen dan 23.5 sen, Dagang Nexchange meningkat 1.5 sen kepada 66 sen, Velesto naik 1.0 sen kepada 25 sen manakala MTAG susut 16.5 sen kepada 44 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas megukuh 15.41 mata kepada 10,629.09, Indeks FBMT 100 menokok 14.34 mata kepada 10,300.80 dan Indeks FBM Emas Syariah mengembang 29.43 mata menjadi 10,961.15.

Indeks FBM ACE pula meraih 9.45 mata kepada 5,568.62 dan Indeks FBM 70 peroleh 53.01 mata kepada 13,468.69.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 5.41 mata kepada 6,811.77, Indeks Tenaga menambah 2.12 mata kepada 866.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.24 mata kepada 184.54, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 20.90 mata kepada 15,989.97.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker