Dulu di lorong kini di masjid

Gara-gara terlalu ikutkan nafsu, Ifti dan Sufi (bukan nama sebenar) pernah hanyut dalam dunia mak nyah.

Mereka juga sanggup berhabis wang demi tampil jelita seperti wanita tulen. Bagaimanapun, hidayah Ilahi membawa mereka kembali ke fitrah asal sebagai lelaki. Ikuti kisah mereka kembali ke pangkal jalan bersama wartawan Redzuan Muharam.

Kuala Lumpur:Β “Sama ada ia secara kebetulan atau tidak, tapi bagi saya ia petanda dan teguran supaya kembali ke jalan Allah,” kata bekas mak nyah yang dikenali sebagai Ifti, 35.

Detik yang mencetuskan penghijrahannya kembali ke pangkal jalan, sekali gus keluar dari kehidupan sebagai seorang mak nyah bermula apabila melihat kalimah ‘La Ilaha Illallah’ di langit pada Ramadan empat tahun lalu.



“Ketika itu, saya seperti terpukul dan anggap ia sebagai teguran, isyarat serta petanda untuk kembali ke jalan Allah,” katanya.

Keinginan menjadi ‘wanita’ tulen pernah mendorong Ifti membelanjakan wang simpanannya untuk menyuntik hormon kerana mahu kelihatan jelita. Bukan setakat itu, Ifti pernah lari dari rumah dan tinggal di hotel selama dua tahun kerana mahu kebebasan tanpa dikongkong keluarga selain ikutkan nafsu dengan ‘melorong’ (menawarkan khidmat seks) di jalanan.

Bagaimanapun, selepas peristiwa di bulan Ramadan itu, Ifti nekad untuk ‘cuci tangan’ dan berubah menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Ini terbukti apabila dia kini bertugas sebagai siak masjid dekat kampung berhampiran rumahnya.

“Masa saya kini lebih banyak dihabiskan di masjid. Syukur kerana saya diterima baik pihak pengurusan masjid dan jemaah yang datang walaupun ada juga mengusik.



“Selain bekerja, saya juga berpeluang buat amal ibadat dengan tenang dan itu salah satu nikmat saya dapat rasakan selepas berubah.

“Sekarang, saya tak payah lagi fikir nak cukur kening atau buang janggut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menyelami kisahnya, Ifti berkata, dia berperwatakan lembut sejak di bangku sekolah dan nalurinya lebih cenderung sebagai perempuan. Selepas tamat persekolahan, dia berhijrah ke ibu kota untuk bekerja dan itu yang menjadi titik hingga semakin terjerumus melakukan perkara di luar fitrah.

“Bermulalah pergaulan bebas dan dari situ timbul keinginan untuk mencuba bermula denganΒ dragΒ (berpakaian wanita) kemudian ambil hormon dan kemudian ‘melorong’.

“Saya tidakΒ dragΒ setiap masa malah ‘melorong’ pun untuk suka-suka saja kerana ada pekerjaan iaitu sebagai ejen jualan ketika itu,” katanya.

Selepas lima tahun merantau di ibu kota, Ifti nekad berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit dan bertitik tolak daripada situ, dia diuji dengan kesulitan dan kesempitan hidup kerana tiada pendapatan.

“Saya buat keputusan pulang ke kampung kerana keadaan ibu yang agak kritikal dan perlukan penjagaan rapi. Nak tak nak, kena sesuaikan diri namun dengan kesempitan hidup, saya jadi tak tentu arah.

“Mahu jadi lelaki tak boleh, nak jadi perempuan pula tiada wang untuk nampak cantik hingga emosi tak stabil hingga lama kelamaan terfikir untuk berubah,” katanya.

Jauh di sudut hati, Ifti tidak sangka kehidupannya seperti sekarang namun bersyukur diberi hidayah berubah sebelum ibunya menutup mata empat tahun lalu.

“Sejujurnya dalam dunia mak nyah ini lebih kepada kegembiraan dan keseronokan. Hakikatnya, saya terpaksa menipu untuk jadi seperti wanita dan memang tidak pernah bahagia dan selesa.

“Keluarga juga tahu saya dulu macam mana termasuk arwah ibu namun ibu mana bangga tengok anak lelakinya jadi begitu, tetapi ibu mungkin doa dalam diam hingga saya dapat hidayah,” katanya.

Ditanya adakah dia ada keinginan untuk berumah tangga, Ifti lebih selesa menyerahkan soal jodoh kepada Ilahi.

“Dekat masjid memang ada yang tanya saya perihal itu (kahwin) kerana nak tolong carikan.

“Jika Allah berkehendakkan maka siapa saya nak menidakkan ketentuanNya, cuma saya ada dan tinggal bersama adik orang kurang upaya (OKU) jadi tak tahu pasangan boleh terima atau tidak.

“Apapun, saya percaya perkahwinan bukan pengakhiran buat golongan seperti saya kerana apa yang penting, cuba istiqamah serta jadi insan lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya yang berharap kisahnya dapat menjadi iktibar buat orang lain.

Terdetik mahu insaf bila fikirkan kekecewaan ibu, ayah

Kuala Lumpur:Β Selama tujuh tahun dia bergelumang hidup sebagai mak nyah namun akhirnya mendapat hidayah daripada Allah SWT, sekali gus hatinya terbuka untuk bertaubat dan berubah menjadi manusia mengikut jantina ketika dilahirkan.

Bekas mak nyah dikenali Sufi (bukan nama sebenar) mengakui kerana menurutkan kehendak diri sendiri, dia terjebak dalam dunia lelaki berperwatakan wanita walaupun ketika itu bekerja sebagai penjawat awam.

“Susah nak jadi perempuan bila kita sebenarnya dilahirkan sebagai lelaki, jadi bila dikenang semula memang menyesal kerana pilih jalan salah,” katanya.

Sufi berkata, bermula dengan memakai rambut palsu, dia mencuba pula alternatif lain untuk nampak jelita antaranya dengan menyuntik botox pada wajah, dagu dan pinggul kemudian menjalani pembedahan masukkan silikon pada bahagian payudara di Thailand.

Dia sanggup belanjakan wang simpanan sebanyak RM15,000 untuk menjalani rawatan dan pembedahan berkenaan tetapi akhirnya nekad kembali ke fitrah kerana terus menghampakan keluarga terutama ibu bapanya.

Perlahan-lahan, Sufi berusaha mengubah penampilannya hingga ditakdirkan bertemu dengan wanita yang mampu membuka pintu hatinya untuk berumahtangga beberapa tahun lalu walaupun suatu masa dahulu perasaannya hanya ada pada kaum sejenis.

“Apabila menyedari ibu dan ayah sebenarnya kecewa dengan perbuatan itu, saya mula menyesal dan terdetik mahu berubah.

“Ketika itu, saya mula potong rambut pendek dan tidak lagi memakai rambut palsu. Pada 2018, saya hantar ibu dan ayah melakukan umrah dan minta mereka doakan saya.

“Dua tahun kemudian, saya ditukarkan tempat kerja dan sejak itu keinginan nak berubah semakin kuat hingga nekad untuk buang silikon pada payudara di sebuah hospital swasta,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, penghijrahannya untuk keluar daripada dunia mak nyah tidak mudah kerana diuji dengan pemergian ibunya tahun lalu.

“Dua kali saya jalankan pembedahan iaitu pada 2021 iaitu setahun selepas berkenalan dengan isteri.

Sebenarnya isteri tahu kisah saya sebelum kami berkahwin tetapi dia menerimanya malah dia yang banyak membantu ketika saya keluar masuk hospital.

“Cuma yang menyedihkan apabila ibu meninggal dunia sehari selepas saya jalani pembedahan kali kedua tahun lalu tetapi mujurlah sempat lihat jenazahnya buat kali terakhir dan mohon maaf dengannya sebelum pembedahan,” katanya.

Berkongsi perihal diri, Sufi berkata, naluri dan kecenderungan menjadi perempuan ada sejak kecil tetapi semakin menjadi-jadi selepas masuk sekolah berasrama.

“Perubahan semakin ketara selepas terjebak dengan platform sembang dalam talian ketika itu dan jauh dari keluarga.

“Di asrama pula ada senior yang suka kacau jadi dapat pendedahan di situ dan masuk ke universiti, lain pula ceritanya apabila saya mula ada teman lelaki.

“Pada awalnya dulu saya masih menampilkan diri sebagai lelaki namun berubah menjadi mak nyah akibat kecewa kerana putus cinta selepas tiga tahun menjalin hubungan dengan teman lelaki,” katanya.

Katanya, ketika itu dia mula berpakaian seperti wanita ke tempat kerja dan mengambil suntikan botox selepas dicadangkan oleh seorang kenalan serta pasang silikon pada payudara.

“Namun percayalah, itu adalah kesalahan yang paling saya menyesal dalam hidup kerana lebih menyeksakan,” katanya.

Katanya, dia bersyukur ditakdirkan berumah tangga dan dapat isteri serta keluarga mentua yang memahami.

Hijrah Cikgu Ery

Klang:Β Pengalaman berbelas tahun bergelumang dalam dunia mak nyah sebelum berhijrah tidak disia-siakan oleh Mohd Khariri Mohamad Ramli atau mesra disapa Cikgu Ery.

Buktinya, Ery, 46, giat sebagai aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hijrah yang salah satu objektifnya adalah membantu komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) termasuk bekas mak nyah.

Beliau menggerakkan NGO hasil kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Selepas tinggalkan dunia pondan, saya belajar mendalami ilmu agama kerana banyak yang ditinggalkan ketika jadi mak nyah.

“Berkat usaha itu, saya dapat peluang menyampaikan ceramah dan undangan menghadiri seminar juga forum di sekolah serta Institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi kefahaman mengenai komuniti LGBT kepada orang ramai.

“Pada masa sama, saya masih berkawan dengan komuniti jadi cuba bantu dan bimbing rakan mak nyah yang benar-benar bersungguh untuk berubah.

“Saya ambil inisiatif itu kerana pernah berada di tempat mereka jadi faham cabaran serta onak ranjau yang perlu ditempuh untuk berubah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selain bimbingan dan perkongsian pengalaman, Cikgu Ery juga berusaha membantu bekas mak nyah yang ada hasrat menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Seperti orang lain, golongan seperti kami juga ada impian untuk sampai ke Tanah Suci. Alhamdulillah, saya sudah tiga kali berpeluang mengerjakan umrah namun ramai lagi rakan saya ada keinginan, tetapi belum ada rezeki menjejakkan ke Tanah Suci.

“Jadi, dengan pengaruh yang ada serta peranan sebagai aktivis maka saya cuba realisasikan impian rakan untuk menunaikan umrah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup,” katanya.

Selain menjalankan tugas sebagai guru Muzik dan Pendidikan Jasmani, Cikgu Ery aktif berkongsi rutin senaman dan tip kesihatan menerusi TikTok juga Facebook (FB).

Beliau juga menerbitkan buku bertajuk ‘Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah’ yang berkisar mengenai pahit-maung, jatuh bangun, liku kehidupan selama 12 tahun penghijrahan daripada seorang transgender menjadi Muslim sejati serta bagaimana istiqamah di landasan betul.

Wajib buang silikon jika berkemampuan

Kuala Lumpur:Β Usaha perlu dilakukan oleh bekas mak nyah yang bertaubat adalah belajar hukum hakam dan cuba sedaya upaya untuk istiqamah dengan perubahan.

Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, langkah seterusnya adalah dengan menjauhi individu yang boleh menarik mereka kembali ke dunia mak nyah.

“Sebaliknya, mereka (bekas mak nyah) perlu menjadi pendakwah dengan cara mengajak rakan yang masih dalam dunia mak nyah untuk bertaubat.

“Mereka boleh lakukannya dengan berkongsi pengalaman dan bersama menuntut ilmu agama,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berhubung implan atau silikon pada bahagian payudara pula, Mohd Izhar berkata, hukum membuangnya adalah wajib selepas bertaubat jika berkemampuan.

“Ia perlu dilakukan oleh doktor pakar Muslim atau yang arif. Jika tidak mampu berbuat demikian kerana kos yang tinggi atau masalah kesihatan lain, maka hukum membuangnya itu boleh ditangguhkan hingga benar-benar mampu.

“Jika tidak mampu hingga ke penghujung hayat maka dia tidak berdosa dan jenazahnya boleh dikebumikan sebagai seorang lelaki,” katanya.

Menurut Mohd Izhar, setiap manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik pendosa adalah mereka yang bertaubat kepada Allah.

“Justeru, orang ramai tidak boleh memulaukan atau menghalang golongan berkenaan untuk ke masiid dan sertai aktiviti keagamaan juga kemasyarakatan.

“Sebaiknya, kita perlu bantu mereka bertaubat dan bagi peluang untuk perbaiki diri,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker