Hakim tidak mempunyai kekebalan daripada disiasat – Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa hakim tidak mempunyai kekebalan daripada disiasat dan mereka boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Menurut mahkamah tertinggi negara itu, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan siasatan lain berhak secara perlembagaan untuk menjalankan siasatan dan pendakwa raya mempunyai kuasa memulakan prosiding jenayah terhadap hakim mahkamah atasan, ia mesti dilaksanakan dengan niat baik dan hanya dalam kes sebenar (tulen).

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya berkata, ia mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan Badan Kehakiman.



Katanya, antara protokol yang perlu dipatuhi ialah, badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan; badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara; dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan perlembagaan berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Ketua Hakim tak dimaklumkan mengenai siasatan terhadap Mohd Nazlan



Dalam kes Mohd Nazlan, Tengku Maimun berkata, ketua hakim negara tidak dimaklumkan berhubung perkara itu, sekali gus menunjukkan tiada niat baik dalam siasatan terbabit. Beliau kemudian memerintahkan kes saman pemula berkenaan dipulangkan kembali ke Mahkamah Tinggi untuk diputuskan berdasarkan persoalan perlembagaan yang dijawab Mahkamah Persekutuan hari ini.

Mohd Nazlan ialah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendapati bekas perdana menteri bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

Dua persoalan perlembagaan yang dibangkitkan dalam saman pemula berkenaan adalah, sama ada badan siasatan jenayah termasuk SPRM hanya dibenarkan secara sah untuk menyiasat hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Persekutuan yang sudah digantung mengikut Perkara 125 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua, sama ada pendakwa raya diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim yang sedang berkhidmat mengikut Artikel 145 (3) perlembagaan.



Persoalan itu susulan pemula difailkan peguam dan aktivis terbabit, Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai terhadap Kerajaan Malaysia dan dua yang lain, bagi menuntut perisytiharan bahawa siasatan yang dijalankan SPRM ke atas Mohd Nazlan adalah tidak berperlembagaan.

Selain kerajaan, ketiga-tiga plaintif turut menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan SPRM sebagai defendan.

Melalui saman pemula itu, mereka memohon perisytiharan badan siasatan jenayah termasuk defendan kedua (SPRM), tidak berhak atau dihalang daripada menjalankan siasatan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat, kecuali mereka digantung mengikut Perkara 125(5) atau dibuang menurut Perkara 125(3) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perisytiharan pendakwa raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.



Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata satu laporan SPRM terhadap Mohd Nazlan sudah dikemukakan kepada Tengku Maimun berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh SPRM melalui surat bertarikh 21 Februari 2023.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Pada 29 September tahun lalu, SPRM mengesahkan sudah menyelesaikan kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan hanya menunggu arahan yang akan diberikan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button