Hukuman lebih berat, sebatan usaha tangani jenayah rasuah

Melihat kepada senarai kes pendakwaan berkaitan rasuah di mahkamah, timbul persoalan adakah masalah rasuah di negara ini menjadi bertambah serius.

Kes pendakwaan rasuah mendapat perhatian umum lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan individu berjawatan tinggi dalam parti atau agensi swasta serta awam.

Boleh dikatakan setiap hari akan ada laporan mengenai pemimpin politik atau penjawat awam serta tokoh korporat berdepan pendakwaan di mahkamah akibat tuduhan rasuah.

Kes rasuah terbaru yang menggegarkan negara adalah membabitkan beberapa pemimpin BERSATU sehingga menimbulkan tanda tanya bilakah pendakwaan kes rasuah akan berakhir.

Apa yang pasti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti tidak menang tangan untuk menguruskan kes rasuah dalam negara sama ada membabitkan ‘jerung’ atau ‘ikan bilis’.

Apakah data atau statistik tangkapan daripada SPRM semakin meningkat ini menggambarkan masalah rasuah dalam negara bertambah serius?

Dari sudut persepsi, jawapannya adalah ya. Kita tidak boleh nafikan ia bertambah serius. Namun, berdasarkan kes didakwa di mahkamah ini, ia menunjukkan SPRM amat komited dan berani melaksanakan tanggungjawabnya memerangi rasuah.

Prinsip membanteras rasuah pada asasnya adalah sangat mudah iaitu ‘tiada pemberi maka tiada penerima’. Maka, usaha membanteras jenayah rasuah perlu diperhebatkan. Segala faktor mendorong jenayah itu perlu dikekang.

Hakikatnya, pelbagai jenayah berlaku kerana ada sindiket sanggup mengeluarkan ‘secebis’ hasil kegiatan haram mereka untuk disumbatkan ke dalam mulut anggota agensi penguat kuasa yang korup selain pemimpin politik.

Setakat ini, undang-undang di Malaysia hanya mengenakan hukuman denda lima kali ganda berbanding nilai suapan (minimum RM 10,000) dan penjara kepada pesalah rasuah mengikut Akta SPRM 2009.

Akta ini hanya memperuntukkan penalti am bagi kesalahan berkaitan rasuah ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana lebih tinggi.

Peruntukan hukuman sedia ada dilihat masih tidak cukup berat, malah penalti dikenakan juga kurang memberi kesan terhadap pesalah rasuah.

Selepas 55 tahun SPRM atau sebelum itu Biro Pencegah Rasuah (BPR) ditubuhkan, kita harus belajar daripada pengalaman dan perlu ada kajian menyeluruh untuk menghasilkan undang-undang antirasuah lebih ampuh.

Hukuman lebih berat amat diperlukan memandangkan negara kita berhadapan ancaman rasuah tinggi. Hukuman mati tidak boleh dilaksanakan berikutan kerajaan sedang berusaha memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berat yang lain untuk memenuhi pelbagai sistem perundangan lain di dunia dan selaras dengan kehendak hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Disebabkan hukuman mati itu mustahil dilaksanakan di negara ini, MCW berpendapat ia boleh digantikan dengan hukuman sebatan kepada mereka yang terbukti bersalah dalam jenayah rasuah. Sekurang-kurangnya 10 sebatan mencukupi untuk pesalah dan mampu menjadi amaran kepada orang lain.

Pesalah rasuah wajar dikenakan hukuman rotan mandatori dan penjara seumur hidup. Hukuman berat dikenakan bagi kesalahan mengedar dadah, mungkin boleh dilaksanakan bagi membendung masalah rasuah di negara ini.

Penjara seumur hidup, rotan perlu kajian

Namun, kajian dan pelaksanaan hukuman rotan mandatori serta penjara seumur hidup perlu kajian menyeluruh dengan matlamat pesalah dihukum setimpal dengan kesalahan mereka itu.

Tahanan tanpa jaminan dan had juga perlu diperkenalkan supaya tidak memberikan peluang kepada perasuah menghapuskan bahan bukti atau mempengaruhi saksi dipanggil dalam prosiding mahkamah.

Antara negara mengamalkan hukuman berat kepada pesalah rasuah pada masa kini adalah China dan Britain. Mengikut undang-undang China, hukuman mati boleh dikenakan ke atas pesalah rasuah atau salah guna kuasa melebihi 100,000 yuan (hampir RM60,000) dan penangguhan hukuman mati biasanya diringankan menjadi penjara seumur hidup.

Akta Rasuah United Kingdom (UK) 2010 dianggap sebagai antara satu undang-undang pencegahan rasuah paling ketat di dunia. Akta ini meliputi tiga kategori kesalahan.

l Kesalahan korporat kerana gagal mencegah rasuah

Kesalahan liabiliti ketat (strict liability offense) bermaksud ia hanya perlu membuktikan defendan bersalah atas perbuatannya, tanpa mengira niat jenayah atau keadaan mental defendan ketika melakukan perbuatan itu.

l Rasuah pegawai awam negara asing (Bribing of foreign public official)

Sama seperti Akta Amalan Rasuah Negara Asing (Foreign Corrupt Practices Act), ia adalah satu kesalahan apabila merasuah seseorang pegawai awam negara asing untuk tujuan mendapatkan dan/atau mengekalkan kerja.

l Kesalahan umum rasuah komersial (General commercial bribery offense)

Akta Rasuah UK 2010 adalah lebih luas daripada undang-undang antirasuah di Amerika Syarikat (AS) dan meliputi rasuah peringkat swasta dengan cara kesalahan rasuah komersial.

Akta di AS hanya meliputi rasuah pegawai awam, namun Akta Rasuah UK 2010 menetapkan menjadi kesalahan jenayah apabila bayaran rasuah dibuat kepada orang bekerja di sektor swasta (rasuah komersial).

Di samping itu, mana-mana orang melakukan sesuatu fungsi dan/atau tugas dengan tidak betul (inappropriately) dengan harapan untuk mendapatkan keuntungan dianggap melakukan kesalahan jenayah komersial.

Dalam urusan memerangi rasuah, ia ‘ibarat mencuci air di muara’. Jika di hulu puncanya, perlu dimulakan di sana. Sementara itu, antara langkah dilihat sesuai dilaksanakan bagi menangani jenayah rasuah adalah pemimpin politik dan penjawat awam dibayar gaji setimpal dengan kos kehidupan dan sama dengan sektor swasta.

Justeru, mereka juga tidak boleh miliki sebarang syarikat atau terbabit secara langsung dalam mana-mana perniagaan. Mereka juga patut dilarang menerima sumber kewangan daripada perniagaan atau dana berasingan serta wajib mengisytihar aset tahunan termasuk rumah dan kereta.

Dalam sebarang proses tender, mereka mesti mengisytihar jika berlaku pembabitan ahli keluarga terdekat supaya dapat dikecualikan daripada memberi keputusan.

Mendepani isu dan jenayah rasuah ini, pemimpin politik dan penjawat awam perlu jadi teladan dalam penguatkuasaan pelaksanaan semua undang-undang berkaitan.

Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker