Remaja 13 tahun umpan vape, rogol tiga remaja perempuan

KOTA KINABALU: Empat lelaki, serendah usia 13 tahun mengumpan tiga remaja perempuan dengan vape perisa baharu sebelum merogol mereka di sebuah rumah tumpangan, 26 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa pada 27 April lalu, yang menyatakan menjadi mangsa rogol berkumpulan di sebuah rumah tumpangan di kawasan Kampung Air, di sini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian rogol berkumpulan itu turut membabitkan dua lagi rakan mangsa dan empat lelaki yang tidak dikenali serta seorang perempuan berusia 17 tahun.

“Dalam kejadian itu, suspek empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menegur ketiga-tiga mangsa ketika berada di sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini dan memujuk ketiga-tiga mangsa untuk lepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air.

“Ketika berada di rumah tumpangan berkenaan, semua mangsa diumpan untuk menghisap vape berperisa baharu.

“Semua mangsa menuruti pelawaan suspek dan ketiga-tiga mereka tidak sedarkan diri sebelum mangsa dipercayai dirogol,” katanya.

Beliau memberitahu media demikian ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, semua mangsa tersedar pada tengah malam dan mendapati mereka dalam keadaan tidak berpakaian, manakala empat lelaki dan seorang perempuan terbabit sudah menghilangkan diri.

“Ketiga-tiga mangsa mengesyaki mereka telah dirogol lalu membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas laporan yang dibuat oleh mangsa, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu berjaya mengesan dan menangkap kelima-lima suspek pada pada 27 April lalu.

“Semua suspek berusia 13 tahun hingga 17 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini dan Telipok Ria, Tuaran.

“Mereka direman sehingga 5 Mei 2023 untuk siasatan mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi menasihati remaja terutama remaja perempuan supaya tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baru dikenali dan tidak mencuba untuk menghisap vape kerana bimbang ia akan menjejaskan keselamatan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker