Sherry dapat ‘lampu hijau’ ketuk kepala Azhan Rani

 

Oleh Razak Hasan

Sherry dapat 'lampu hijau' ketuk kepala Azhan Rani
Babak Sherry mengetuk kepala Azhan dengan sudip tular dalam media sosial.

Pelakon drama Khunsa, Sherry Alhadad mendapat ‘lampu hijau’ daripada Azhan Rani mengetuk kepalanya dengan sudip kayu dalam satu babak drama yang tular dalam media sosial.

Bagaimanapun, kata Sherry, dia tidak sengaja mengetuk kepala Azhan sebanyak tiga kali, sedangkan mengikut skrip, babak itu hanya dilakukan sekali sahaja.

“Sebenarnya saya hanya ketuk bahunya ketika latihan. Tapi, Azhan cadangkan ketuk kepala.

“Jika ketuk bahu bimbang penonton tak nampak. Jadi, adegan ini bukan dilakukan suka-suka, tapi atas keizinan tuan badan.

“Bila tengok semula babak ini di kaca televisyen, saya terkejut rupa-rupanya saya naik ‘hantu’ sampai tak sedar ketuk kepala Azhan tiga kali. Sebagai pelakon profesional, Azhan sedikit pun tak kisah,” katanya yang ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro di sebuah hotel di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Sherry berkata, dia bertuah Azhan sangat profesional, banyak cakap dan suka mengusik, tetapi sebaik jeritan ‘action’ dilaungkan, mereka terus berada dalam karakter.

“Kami tak mahu buat satu babak banyak kali, kalau boleh satu babak hanya satu kali ‘take’ sahaja. Jadi kalau nak ketawa, sebelum penggambaran kami ketawa puas-puas.

“Azhan suka melatah, tapi setakat ini, saya tiada masalah sepanjang di lokasi. Bukan sahaja Azhan, pelakon lain termasuk pelakon kanak-kanak semuanya bagus-bagus,” kata Sherry.

Sherry membawakan watak ibu tiri bernama Zaiton berkata, peluang diberikan pengarah, Shahruelzad Mohameddin memberi ruang kepadanya mengubah persepsi orang yang selama ini menyangka dirinya hanya boleh bawakan watak komedi.

“Ketika ditawarkan berlakon dalam drama, memang saya risau sebab semua pelakon termasuk kanak-kanak semuanya hebat. Saya tak nak disebabkan saya, cerita jadi tak seronok.

“Alhamdulillah, atas penerimaan penonton. Ini dikira sebagai batu loncatan untuk saya keluar daripada cerita komedi.

“Sudah lama saya tunggu dapatkan kepercayaan membawakan watak berbeza. Saya bermula berlakon dengan Shahrulezad ketika drama Sutun 2 pada 2006 dan saya kembali bekerjasama dengannya menerusi naskhah hebat,” katanya.

Sherry seronok bergandingan dengan Azhan yang suka melatah, banyak cakap dan mengusik. - Foto IG Sherry Alhadad
Sherry seronok bergandingan dengan Azhan yang suka melatah, banyak cakap dan mengusik. – Foto IG Sherry Alhadad

Khunsa mengisahkan Wan Jusoh (Azhan) tidak boleh terima takdir dengan kelahiran anak bongsu sebagai khunsa. Dia memilih membesarkan anaknya sebagai seorang lelaki.

Namun, Che Khun (Mikael Noah/Mhia Firdaus) membesar dan cenderung kepada sifat kewanitaan menjadikan Wan Jusoh marah.

Kehadiran ibu tiri, Zaiton (Sherry) sering memperlakukan mereka dengan teruk. Pelbagai cabaran dan rintangan berlaku sepanjang Che Khun membesar sehingga dewasa dek kerana kesalahan bapanya yang menentukan jantinanya.

Drama Khunsa menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 9 malam di Astro Ria. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker