Siasat hubung kait Kumpulan Sulu dengan RSF

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melakukan semakan untuk menentukan sekiranya ada dalam kalangan lapan individu yang mendakwaΒ waris Kesultanan SuluΒ mempunyai pertalian dengan kumpulan pengganas Royal Sulu Forces (RSF).

Selain pertalian rapat, turut diambil kira sama ada pihak terbabit yang ingin mendapa

tkan pampasan ke atas Sabah itu mempunyai hubungan kekeluargaan atau waris kepada RSF.

RSF telah dihukum oleh mahkamah susulan kes pencerobohan di Lahad Datu di Sabah dan diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Kerajaan Malaysia sejak April 2022.



Pencerobohan pada 2013 itu mengakibatkan 12 perwira negara terbunuh, selain menyebabkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Sekretariat Khas Sulu melalui kenyataan berkata, semakan dilakukan itu antara langkah diteliti kerajaan dalam usaha menentang pihak penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dalam usaha memelihara kedaulatan negara.

Mengulas lanjut, katanya tindakan undang-undang diambil pihak yang menuntut itu sehingga kini terutamanya timbang tara komersial yang dijalankan, adalah tidak wajar dari segi perundangan, malah mencabar kedaulatan negara secara langsung

“Sebarang tindakan diambil penuntut ini melalui timbang tara komersial pada masa kini adalah bersifat ‘mala fide’ (berniat jahat), memandangkan pihak Sulu pada 1939 pernah menghadap ke Mahkamah Tinggi Borneo Utara untuk pertikaian yang terbangkit pada masa itu.



“Kerajaan Malaysia menegaskan di sini bahawa hak dan tuntutan pihak yang menuntut ini tidak sah, terbatal dan ditamatkan melalui pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri oleh

rakyat Sabah melalui perundingan Suruhanjaya Cobbold pada 1962, serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan Malaysia ingin menegaskan tiga perkara termasuk Perjanjian 1878 yang dijadikan asas untuk timbang tara dijalankan di Sepanyol dan Perancis, yang tidak mempunyai sebarang klausa timbang tara dan bukan sebuah kontrak komersial.

Selain itu, pertikaian yang terbangkit membabitkan kedaulatan negara dan Malaysia tidak pernah pada mana-mana ketika mengetepikan kekebalan kedaulatannya.

Akhir sekali, penimbang tara tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan perkara yang dibawa oleh pihak yang menuntut.

“Perkara ini selaras perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah bagi pihak Kerajaan Malaysia pada 14 Januari 2020.

“Kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Muka depan BH hari ini melaporkan kerajaan sedang menyiasat kemungkinan wujud ‘tali barut’ dalam kalangan rakyat negara ini yang membantu dalam kes kumpulan yang mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi mendapatkan pampasan ke atas Sabah.

Mendedah situasi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tidak menolak kemungkinan orang dalam menjadi dalang dalam tuntutan kumpulan Sulu itu, berdasarkan tuntutan tanpa henti mereka atas syarikat berkaitan kerajaan Malaysia di luar negara.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker