‘Macam mana boleh ada 5,000 kerja kosong secara tiba-tiba?’

KUALA LUMPUR: Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mahukan kepastian daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan bekas menteri terdahulu, Khairy Jamaluddin berhubung kekosongan hampir 5,000 jawatan tetap yang mula diiklankan semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, mengiklankan 4,914 kekosongan membabitkan 4,263 jawatan bagi pegawai perubatan, 355 bagi pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

Jurucakap HDK berkata, biarpun pengumuman itu memperlihatkan satu penyelesaian yang pantas dan cekap, namun pihaknya menginginkan kepastian, siapa sebenarnya menjalankan peranan di sebalik kewujudan kekosongan perjawatan itu.

“Jika ia dicetuskan Khairy, ia sepatutnya diumumkan awal, sekali gus dapat mengelakkan lebih ramai doktor meninggalkan KKM selepas percubaan pertama mereka mendapatkan pekerjaan tidak membuahkan hasil.

“Sepatutnya lebih 4,000 jawatan tetap ini diumumkan awal untuk memastikan pegawai perubatan (MO) kekal dan mereka tidak meninggalkan perkhidmatan KKM.

“Namun, jika ia usaha Dr Zaliha, bagaimana beliau (dapat) berbuat demikian dengan segera berbanding bekas menteri terdahulu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM semalam, Dr Zaliha dilaporkan berkata, iklan mengenai 4,914 jawatan itu dibuka hingga 21 Januari ini.

Susulan itu, beliau berharap calon yang layak dapat membuat permohonan dan mengemukakan segera maklumat yang lengkap dan betul.

Untuk rekod, ketika Khairy menggalas tugas sebagai Menteri Kesihatan, beliau mengumumkan tambahan 4,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak, pegawai pergigian dan ahli farmasi yang sudah diisi pada Oktober tahun lalu.

Khairy ketika itu turut berkata, kerajaan menjanjikan 1,500 jawatan tetap bertambah setiap tahun, tetapi semalam, Dr Zaliha mengumumkan KKM mempunyai kekosongan 4,914 jawatan tetap.

Jurucakap HDK berkata, perkembangan atau pengumuman dibuat Dr Zaliha itu membolehkan kalangan pegawai perubatan yang ingin berhenti daripada perkhidmatan KKM, boleh mencuba mendapatkan jawatan tetap dan terus berkhidmat dalam sektor kerajaan.

“Ini bermakna, daripada 1,500 perjawatan baharu dibuka setiap tahun seperti dikatakan Khairy, kini bertambah lebih 3,500 menjadi hampir 5,000 perjawatan, sekali gus membawa sinar harapan kepada pegawai perubatan.

“Ada kalangan yang berstatus kontrak ini, menyimpan harapan untuk meneruskan kepada latihan pakar dan cuba memohon jawatan mengikut kekosongan itu.

“Memasuki tahun ini, Dr Zaliha tiba-tiba mengumumkan hampir 5,000 jawatan tetap untuk direbut bulan ini. Walaupun kami menerimanya sebagai penyelesaian pantas dan cekap, kami tertanya-tanya dari mana datangnya semua jawatan tetap ini,” katanya.

“Ini kerana, sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan KKM saling menuding jari antara satu sama lain mengenai kesukaran menyerapkan lebih ramai doktor kontrak ke jawatan tetap.

“Adakah keadaan berubah sekarang dalam KKM dan JPA. Mengapa tiba-tiba JPA sanggup menawarkan hampir 5,000 jawatan tetap dalam tempoh singkat. Ataupun jawatan tetap adalah proses sebelum pilihan raya?

“Ia sewajarnya diumumkan lebih awal untuk mengelak lebih ramai doktor pergi terutama mereka yang tidak mendapat jawatan pada percubaan pertama,” katanya.

Jurucakap itu berkata, walaupun mereka tertanya-tanya dan menantikan jawapan berhubung perkara itu, namun pihaknya gembira atas kekosongan perjawatan yang ditawarkan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker