Pejabat Daerah Baling cari penempatan selamat untuk 19 keluarga mangsa banjir

BALING: Pejabat Daerah Baling akan mengenal pasti lokasi penempatan baharu yang sesuai dan selamat untuk memindahkan 19 keluarga dari Kampung Padang Empang, dekat Kupang, di sini, yang berisiko terus dilanda bencana banjir dan kepala air.

Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah, berkata lokasi dikenal pasti itu nanti akan dinilai sebelum laporan mengenai cadangan penempatan baharu diserahkan kepada pihak atasan untuk dipertimbangkan.

“Kita akui penduduk yang tinggal di pinggir tebing Sungai Kupang sering terkesan dengan banjir akhir-akhir ini, terutama selepas tragedi kepala air dan banjir lumpur pada 4 Julai lalu.

“Majoriti mereka terkesan dengan kejadian itu dan hidup dalam ketakutan serta menanggung risiko setiap kali apabila hujan lebat dan banjir berlaku,” katanya ketika dihubungi.



Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata laporan cadangan tapak penempatan baharu itu dijangka diperoleh daripada Pegawai Daerah Baling Rabu depan.

Muhammad Sanusi menegaskan, rancangan memindahkan keluarga yang rumah mereka berisiko ditenggelami air memang sudah sedia ada dan pihaknya sedia maklum mengenai perkara ini.

Kenyataan itu menyusul selepas kejadian banjir dan kepala air sekali lagi berlaku dalam temnpoh kurang sebulan sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Terbuka Kampung Padang Empang.

Mengulas penempatan sedia ada, Mohd Shahadan mengakui kedudukan kediaman tidak lagi selamat kerana setiap kali hujan lebat lebih dua jam, air akan melimpah dengan cepat sehingga memasuki rumah.



“Kita akur dengan permasalahan penduduk yang masih trauma dengan kejadian pertama yang belum reda dan kini diduga dengan kejadian kedua pula.

“Penduduk ada merungut untuk berpindah ke tempat baharu yang lebih selamat kerana jarak kebanyakan rumah hanya 30 meter dari tebing sungai dan sudah pasti air cepat melimpah ke rumah mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Mariam Abdul Isa, 70, mengakui tidak berani lagi untuk pulang ke rumah sejak kejadian kepala air dan banjir lumpur melanda.

“Dengan keadaan suami, Saad Md Piah, 70, yang sakit lumpuh sejak sembilan tahun lalu, saya dan keluarga sudah tidak berani untuk berdepan risiko menetap di penempatan yang tidak lagi selamat itu.

“Kalau dulu tidak terasa sangat…walaupun rumah dimasuki air tetapi tidaklah seteruk seperti sekarang kerana kali ini paras air sehingga mencecah tingkap rumah,” katanya yang mengakui sedia berpindah jika disediakan penempatan baharu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker