Potter terima emel ancam diri, keluarga

LONDON: Pengurus Chelsea yang tertekan, Graham Potter menerima kiriman emel yang mengancam dirinya dan keluarga.

Potter mendedahkan hari ini bahawa dia menjadi sasaran akaun tidak dikenali selepas satu lagi persembahan longgar Chelsea yang tewas 1-0 di laman sendiri berdepan Southampton hujung minggu lalu.

Chelsea kini di kedudukan ke-10 dan hanya menang dua daripada 14 aksi terakhir mereka.



Penyokong meminta Potter dipecat selepas kekalahan di tangan Southampton ketika serangan secara peribadi di media sosial juga bertambah.

Namun lebih membimbangkan bagi Potter, ancaman juga dihantar secara terus kepada bekas pengendali Brighton itu yang menggantikan Thomas Tuchel pada September.

“Anda boleh tanya keluarga saya bagaimana kehidupan buat saya dan mereka. Ia langsung tidak selesa. Saya faham penyokong pulang ke rumah dan mereka marah kerana pasukan tidak menang,” kata Potter.



“Saya menerima sebahagian emel yang tidak begitu bagus, yang mahukan saya mati dan anak-anak saya juga.

“Itu pastinya sesuatu yang tidak bagus untuk diterima. Jika anda ditanya selama empat bulan sama ada anda dalam tekanan, kerana (media) perlu menjual sesuatu – apa yang anda perlu jangkakan, pada penghujungnya?

“Anda tahu pasti ada masalah apabila alamat emel ia dihantar ialah dari ‘Potter bastard at Gmail dot com’.”

Walaupun menerima ancaman berkenaan, Potter cuba kekal positif menjelang pertemuan tetangga London, Tottenham esok.



“Saya mahu berjaya di sini. Ada sesuatu yang tidak masuk akal (diberitahu) yang saya tidak peduli. Dari mana ia datang? Apa bukti anda? Tanya keluarga saya. Orang ada persepsi bahawa saya tidak peduli – ia berdasarkan apa? Bagaimana anda tahu?” katanya.

“Jika anda pergi kerja dan ada seseorang mengeji anda, ia tidak menjadi sesuatu yang bagus.

“Anda boleh menjawabnya dengan dua cara. Saya boleh berkata saya tidak kisah, tapi anda tahu saya bercakap bohong. Semua orang peduli dengan apa yang orang lain fikirkan, kerana kita terikat secara sosial.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button