Fernandes mahu julang lebih banyak trofi

LONDON: Bruno Fernandes menggambarkan perasaan memenangi trofi pertamanya sebagai pemain Manchester United adalah sesuatu yang menakjubkan, tetapi bertekad untuk melakar lebih banyak kejayaan.

Pemain Portugal itu menjadi kapten pasukannya ketika mengatasi Newcastle United untuk final domestik pertama musim ini di Wembley.

Jaringan Casemiro dan gol sendiri Sven Botman di babak pertama mengesahkan kejuaraan buat skuad kendalian Erik ten Hag.

“Kami sudah lama menanti saat ini, pemain-pemain, penyokong dan kelab. Kami semua bersatu hati dan akhirnya kami mendapat trofi kami.

“Ia perjalanan yang hebat, tetapi kami mahu lebih lagi, ia tidak cukup untuk kelab ini. Saya berpuas hati, kerana sekarang saya memperoleh trofi saya, tetapi saya mahu lebih banyak,” kata Fernandes.

Selepas mendahului 2-0 di babak pertama, United mula diberi tekanan di babak kedua namun benteng United berdiri teguh dan anak buah Ten Hag berpeluang menambah jaringan menerusi Fernandes dalam masa kecederaan.

United masih berpeluang memburu tiga lagi trofi musim ini. Mereka berjaya mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa, dan berdepan West Ham di pusingan kelima Piala FA minggu depan.

Gelaran Liga Perdana Inggeris masih dalam jangkauan, walaupun United kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Arsenal.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker