Nasi berlaukkan telur masin, menu tetap lapan beranak

KOTA BHARU: Lapan beranak dari Kampung Permatang Pusu, Melor, di sini, hanya mengharapkan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Wang diterima ketua keluarga yang uzur, Hassan Yaakob, 78, itu dimanfaatkan sebaiknya untuk kegunaannya suami isteri serta enam anak walaupun adakalanya perlu mengikat perut.

Isterinya, Khadijah Omar, 61, berkata dengan elaun JKM itu, mereka sekeluarga perlu mencatu makanan dan hanya makan sekali atau dua kali sehari, selain menyediakan lauk yang ala kadar.

“Nasi berlaukkan telur masin sudah menjadi menu tetap kami jika tiada wang untuk membeli lauk lain.



“Mujurlah kami ada membela lapan ekor itik yang memang persediaan untuk kegunaan kami jika terputus lauk, malah ada juga penduduk kampung yang datang membeli telur,” katanya yang tinggal di rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), di sini.

Khadijah berkata, walaupun semua anak mereka sudah dewasa dan berusia 19 tahun hingga 40 tahun, semuanya mengalami masalah pembelajaran, lembam dan tidak bekerja.

Seorang lagi anak mereka sudah berkahwin dan menetap di Pasir Mas serta bekerja sebagai tukang kebun sekolah.

“Lima daripada tujuh anak keciciran pelajaran, manakala dua lagi bersekolah di sekolah pendidikan khas iaitu Mohd Najib Hassan, 21, yang sudah tamat sekolah tahun lalu manakala yang bongsu, Nur Nazirah Ayuni Hassan, 19, masih bersekolah.



“Enam yang menetap dengan kami tidak berumahtangga dan tidak bekerja kerana selain kurang bergaul, kami juga tiada kenderaan jika ditawarkan kerja kecuali basikal yang saya gunakan untuk ke kedai runcit atau pasar,” katanya.

Khadijah berkata, ketika ini mereka juga dibebani tunggakan bil elektrik yang mencecah RM1,500 dan bimbang jika bekalan elektrik dipotong.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan, diwakili Pengerusinya, Fazliyaton Daud, yang hadir menyampaikan wang zakat serta bantuan makanan asas.

Fazliyaton berkata, pihaknya akan memasukkan keluarga itu dalam senarai penerima tetap bakul makanan, yang akan menerima bantuan itu setiap bulan, selain cuba menyelesaikan masalah tunggakan bil elektrik keluarga terbabit.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker