SpaceX Dragon Crew-6 berlepas ke ISS

WASHINGTON: Roket SpaceX Falcon 9 berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini, membawa dua angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA), seorang angkasawan Russia dan angkasawan kedua dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk pelayaran ke angkasa lepas.

Misi SpaceX Dragon Crew-6 berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida pada 1.45 pagi (waktu tempatan).

Keadaan cuaca dijangka hampir sempurna bagi pelancaran roket berkenaan.



Kapsul Crew Dragon yang digelar Endeavour dijadualkan tiba di ISS esok, jam 2.38 pagi (waktu tempatan).

“Masa untuk berlepas!” tulis NASA menerusi satu ciapan di Twitter sambil mempromosikan siaran secara langsung pelancaran kapsul berkenaan.

Ketiga-tiga angkasawan, Stephen Bowen dan Warren Hoburg dari NASA, Andrey Fedyaev (Russia) dan Sultan al-Neyadi (UAE) akan menghabiskan masa selama enam bulan di ISS.



Neyadi, 41 menjadi angkasawan keempat dari negara Arab dan yang kedua dari UAE untuk mengembara ke angkasa.

Sebelum ini, rakan senegaranya, Hazzaa al-Mansoori telah melakukan misi selama lapan hari pada 2019.

Neyadi menyifatkan peluang menyertai misi itu sebagai penghormatan besar kepadanya.

Juruterbang Endeavour, Hoburg dan pakar misi Russia, Fedyaev, turut mengikuti misi ke angkasa lepas buat kali pertama.



Fedyaev adalah angkasawan Russia kedua yang terbang ke ISS menaiki roket SpaceX.

Angkasawan NASA kerap terbang ke ISS menggunakan kapsul Soyuz Russia.

Pelayaran ke angkasa lepas kekal menjadi salah satu kerjasama yang jarang berlaku di antara Moscow dan Washington sejak serangan Russia di Ukraine.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button