Lelaki warga asing dibunuh rakan sekerja

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki warga asing dibunuh rakan sekerja
LELAKI warga asing ditemui mati dibunuh dua rakan sekerja di kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang, Bentong, hari ini. FOTO Ihsan Polis

Polis menahan dua lelaki warga asing yang dipercayai terbabit kes pembunuhan rakan sekerja mereka di kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun kira-kira jam 5 pagi hari ini.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian mendapati mangsa adalah seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun dengan mayatnya mempunyai beberapa kesan kecederaan pada badan.

“Kami menahan dua lelaki warga asing iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan kebun itu, manakala seorang lagi suspek berusia 31 tahun ditahan di lokasi berhampiran ketika cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, salah seorang suspek yang ditahan didapati mempunyai beberapa kesan kecederaan dipercayai akibat pergelutan.

“Kami juga berjaya merampas parang dan pisau dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Hasil siasatan awal dilakukan mendapati kedua-dua suspek dan mangsa adalah pekerja di kebun durian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedang dijalankan termasuk mengenal pasti punca kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong, Asisten Superintendan Faizal Abdullah di talian 012-4834439 atau Pusat Kawalan Daerah IPD Bentong di talian 09-2222222 bagi membantu siasatan.

“Pihak polis memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu yang masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber – Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker