Muat naik hantaran provokasi, warga emas ditahan

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki warga emas yang dipercayai memuat naik tiga hantaran di Facebook bersifat provokasi dan berunsur hasutan, semalam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 61 tahun itu dan merampas dua telefon bimbit di Kampung Hulu, Melaka, semalam.

“Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

“Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan tempoh tahanan reman dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 9 Mei nanti.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan mengaibkan, mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja dan seumpamanya yang boleh membawa kepada ketidakharmonian serta menjejaskan perpaduan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker