Rakyat Iran berpesta sokong serangan terhadap musuh

Oleh – Syeikh Baran


Rakyat Iran berpesta sokong serangan terhadap musuh
ORANG RAMAI mengibarkan bendera Iran ketika berkumpul di Teheran hari ini. – AFP

Beribu-ribu orang membanjiri  jalan-jalan di Teheran hari ini sebagai tanda sokongan kepada serangan dron dan peluru berpandu yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap musuh ketat Iran, Israel.

Orang ramai melaungkan slogan ‘Matilah Israel!’  dan ‘Matilah Amerika!’  ketika berhimpun di  Dataran Palestin, Teheran sejurus selepas Kor Pengawal Revolusi mengumumkan serangan ke atas Israel yang dikenali sebagai ‘Operasi Janji Kebenaran’.



Ia merupakan tindak balas terhadap perbuatan Israel membedil Kedutaan Iran di Damsyik pada  1 April lalu, mengakibatkan tujuh pegawai tinggi Kor Pengawal Revolusi terkorban termasuk dua yang berpangkat jeneral.

Teheran sejak itu berikrar akan membalas dendam.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei juga berjanji bahawa ‘rejim jahat (Israel) akan dihukum’.

Media Iran menyifatkan serangan ke atas Israel itu sebagai ‘kompleks’  kerana turut melibatkan sekutu Iran di Yemen, Lebanon dan Iraq.



“Serangan ini bukan datang dari Iran sahaja. Rejim ini  (Israel) sedang dihukum dari empat penjuru,” demikian menurut agensi berita Tasnim.

Sekumpulan besar penunjuk perasaan dilihat berkumpul di luar kedutaan Britain di Teheran.

Penyokong serangan balas Iran turut berhimpun di bandar ketiga terbesar, Isfahan di mana Brigedier Jeneral Mohammad Reza Zahedi iaitu salah seorang jeneral yang terbunuh dalam serangan di  Damsyik dikebumikan.

Penunjuk perasaan juga berkumpul kubur komander Pengawal Revolusi, Qasem Soleimani di Kerman, selatan Iran. Soleimani  terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat di Baghdad pada 2020.



Iran menegaskan bahawa negara berkenaan bertindak demi ‘mempertahankan diri’ selepas Israel membedil misi diplomatiknya di Damsyik.

Bagaimanapun, menurut Teheran, serangan itu adalah secara ‘sekali serang’  dan ‘perkara itu boleh dianggap selesai’.

Iran tidak mengiktiraf Israel dengan kedua-dua belah pihak bertempur dalam ‘perang bayangan’ selama bertahun-tahun. – AFP 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button