Bursa Malaysia terus merosot

KUALA LUMPUR: Dagangan Bursa Malaysia terus tertekan apabila Wall Street ditutup lemah semalaman berikutan data ekonomi terkini yang menunjukkan keyakinan perniagaan yang masih suram.

Pada 9.18 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.82 mata kepada 1,448.37 daripada penutupan Selasa pada paras 1,454.19.

Namun begitu, indeks utama dibuka 0.19 mata lebih tinggi pada 1,454.38.

Pergerakan harga di pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 297 berbalas 168, manakala 245 kaunter tidak berubah, 1,493 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 413.70 juta unit bernilai RM144.17 juta.

Sementara di Amerika Syarikat (AS), Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan merosot sekali lagi pada Februari kepada 102.9 daripada 106.0 pada Januari, mendorong lebih banyak jangkaan terhadap langkah Rizab Persekutuan (Fed) untuk menaikkan kadar faedah.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata ini keputusan data itu telah menyebabkan sesi dagangan tidak menentu dengan Purata Perindustrian Dow Jones semalaman kerugian 232 mata, manakala Nasdaq susut sebanyak 11 mata.

”Walaupun terdapat beberapa pengumpulan saham perbankan berikutan laporan pendapatan kukuh terkini, sentimen keseluruhan kekal hambar.

”Kami berpendapat bursa tempatan masih terperangkap dalam mod konsolidasi di tengah-tengah ketidaktentuan di AS, justeru menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,450-1,460 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH susut 10 sen kepada RM5.69, MISC lemah 15 sen kepada RM7.41, Press Metal turun tujuh sen menjadi RM5.09, Tenaga Nasional lebih rendah sebanyak 10 sen kepada RM9.27, dan IOI menguncup lapan sen kepada RM3.75.

Bagi saham aktif, Icon Offshore turun tiga sen kepada 9.0 sen, manakala Velesto dan Pharmaniaga berkurangan satu sen setiap satu menjadi 18 sen dan 26 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 41.28 mata kepada 10,537.85, Indeks FBMT 100 susut 40.95 mata menjadi 10,230.51 manakala Indeks FBM Emas Syariah lemah 64.27 mata kepada 10,733.40,

Indeks FBM 70 pula merosot 52.90 mata kepada 13,383.73 sementara Indeks ACE FBM peroleh 37.63 mata kepada 5,395.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah sebanyak 19.76 mata kepada 16,175.07, Indeks Tenaga susut 5.51 mata menjadi 838.06, Indeks Perladangan berkurangan 31.83 mata kepada 6,734.81 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 1.28 mata kepada 176.15.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker