Emery jurulatih baharu Aston Villa

LONDON: Bekas pengendali Arsenal, Unai Emery akan kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan depan sebagai ketua jurulatih baharu Aston Villa, umum kelab Inggeris itu semalam.

Emery, yang melepaskan jawatannya di kelab Sepanyol, Villarreal, mengambil alih Villa daripada Steven Gerrard yang dipecat minggu lalu selepas tewas 3-0 di tangan Fulham.

“Dengan sukacita Aston Villa mengumumkan pelantikan Unai Emery sebagai ketua jurulatih baharu kelab,” umum kelab berkenaan.

Villa menggambarkan Emery sebagai ‘jurulatih kelas tinggi berpengalaman yang sudah mengendali lebih 900 perlawanan’.



Pengendali berusia 50 tahun itu membimbing Villarreal memenangi Liga Europa pada tahun 2021, menewaskan Manchester United di final, sebelum membawa mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu di mana mereka tewas kepada Liverpool.

Sebelum itu, dia membawa Sevilla menjuarai tiga gelaran Liga Europa antara tahun 2013 dan 2016, dan kemudian menjulang trofi Ligue 1 di Perancis bersama Paris Saint-Germain.

Sepanjang di Arsenal, dia membawa The Gunners ke final Liga Europa 2019 di mana mereka tewas 4-1 kepada Chelsea.

Menurut Villa, Emery yang kontraknya bersama Villarreal akan tamat hujung musim ini, akan mula bertugas pada 1 November selepas selesai urusan permit kerja.



Emery sebelum ini mengendali Arsenal selama 18 bulan dan dipecat susulan tujuh kekalahan berturut-turut.

Bekas pemain tengah Liverpool dan England, Gerrard menerima padah di atas persembahan awal musim Villa yang hambar, di mana mereka berada hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran.

Villa hanya memenangi dua daripada 11 perlawanan EPL musim ini dan kekalahan di Craven Cottage sudah cukup untuk mengakhiri tempoh 11 bulan Gerrard di Villa Park.

“Ketua jurulatih Unai Emery memaklumkan kepada Villarreal CF keputusannya untuk menamatkan kontrak bersama kelab.

“Emery mencatat sejarah Villarreal CF sebagai pengendali pertama memenangi gelaran bersama kelab, Liga Europa UEFA, serta pencapaian bersejarah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah tahun lalu.

“Villarreal ingin mengucapkan terima kasih kepada Unai Emery di atas usahanya dan semoga dia terus maju jaya dalam kariernya,” kata Villarreal.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker