Hafidz Roshdi ceraikan isteri tanpa niat?
Kuala Lumpur: Pelakon Hafidz Roshdi, 29, dilaporkan membuat permohonan pengesahan lafaz cerai selepas didakwa sudah menceraikan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, dengan talak satu di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor, kelmarin.
Menurut sumber kepada Harian Metro, Hafidz memohon mahkamah untuk meneliti setiap dakwaan berlakunya lafaz cerai dari segi rukun dan syarat.
“Hafidz memberitahu mahkamah lafaz cerai terhadap isterinya dibuat tanpa niat.
“Jadi dia memohon mahkamah untuk meniliti lafaz cerai sama ada lafaz itu sah atau boleh menggugurkannya,” katanya.
Dalam masa sama, sumber memberitahu, satu tarikh baharu bakal ditetapkan mahkamah untuk pengesahan lafaz cerai membabitkan pasangan itu.
Terdahulu Harian Metro melaporkan Hafidz didakwa sudah menceraikan isterinya dengan talak satu, bersaksikan keluarga mereka.
Sebelum itu, kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila Nurul Shuhada mendedahkan suaminya ada hubungan dengan wanita lain, bernama Athira Yuhada.
Athira Yuhada juga mendedahkan pernah berhubungan dengan pelakon terbabit namun berjanji untuk tidak meneruskan hubungan mereka selain memohon maaf kepada Shuhada dan anak-anaknya.
Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Humairah, 6 dan Umar, 2.
METRO