Kerajaan pertimbang wujudkan Majlis Penghukuman

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mewujudkan sebuah badan khas, Majlis Penghukuman yang disasar untuk memupuk ketelusan dan konsistensi lebih baik dalam menjatuhkan hukuman, sebagai antara usaha mereformasi sistem keadilan jenayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Majlis itu sekiranya ditubuhkan, akan menjadi sebuah badan awam bebas sebagaimana ‘Sentencing Council’ di United Kingdom (UK).

“Ini bagi menggalakkan ketelusan lebih baik dan konsistensi dalam menjatuhkan hukuman, di samping mengekalkan kebebasan badan kehakiman,” katanya ketika berucap melancarkan buku edisi keempat hasil penulisan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu bertajuk ‘Criminal Litigation Process’, di sini, hari ini.

Seterusnya, beliau berkata, satu lagi isu sedang dipertimbangkan ialah agenda reformasi penjara, di mana kerajaan mengkaji untuk memastikan sebarang hukuman dikenakan adalah berdasarkan konsep keadilan pemulihan.

“Ini bagi memastikan hak semua pihak dilindungi dan terjamin, sekali gus meningkatkan dinamik sistem keadilan jenayah Malaysia,” katanya.

Mengulas buku karangan Baljit pula, Wan Junaidi berkata, penerbitan edisi ke-4 itu menjadi testimoni kepentingan perkara berhubung prosedur jenayah dan proses perbicaraan dalam pengurusan keadilan jenayah.

Beliau berkata, pengurusan keadilan jenayah boleh menjadi satu proses yang mencabar kerana ia membabitkan pelbagai mekanisme dan petugas.

“Selain itu, ia memerlukan pengimbangan yang teliti terhadap hak-hak individu di satu pihak dan perlindungan masyarakat di pihak lain. Sebagai ahli dalam soal undang-undang, adalah penting untuk kita mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keadilan dan membanteras ancaman jenayah apabila ia muncul.

“Sesiapapun tidak boleh berbuat demikian tanpa terlebih dahulu memahami sejarah dan keadaan semasa undang-undang jenayah negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata, kekurangan pengetahuan mengenai undang-undang dan prosedur yang diguna pakai turut membantutkan proses perundangan.

“Justeru, perlu ada penerbitan komprehensif yang masih mengekalkan bahasa mudah supaya dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat untuk memahami hak serta kewajipan mereka, skop undang-undang, dan membincangkan bagaimana ia boleh diperbaiki, ” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker