‘Kenakan tindakan tegas majikan buang pekerja tempatan’

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mahu tindakan tegas dikenakan terhadap majikan atau syarikat yang didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat kelulusan kuota tenaga kerja asing.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata ini kerana pekerja tempatan harus diberi keutamaan terlebih dulu dan tiada kompromi dalam mendapatkan pekerjaan.

Katanya, pengambilan pekerja asing di negara ini pula bertujuan mengisi kekosongan bagi industri yang memerlukan pekerja sedemikian.



“Justeru, MEF menyokong pendirian Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada majikan yang melakukan tindakan itu.

“MEF juga bersetuju dengan keputusan KSM yang akan mengambil tindakan denda sehingga RM50,000 terhadap majikan yang melanggar Seksyen 60M Akta Kerja 1955,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, KSM akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing.



Menterinya, V Sivakumar menegaskan, majikan atau syarikat itu juga boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, pihaknya bimbang dengan tindakan beberapa majikan yang terpaksa memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat kuota kelulusan menggaji pekerja asing.

Namun, katanya, MEF tidak pasti sama ada majikan terbabit adalah ahli MEF dan percaya pihak yang terbabit bukan bukan ahli persekutuan itu.

“Bagaimanapun, majikan tidak seharusnya menyalahgunakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sehingga merugikan pekerja tempatan.



“Dari tempoh 17 Januari hingga 31 Mac ini, kelulusan program yang hanya membabitkan lima sektor atau subsektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran) akan diberikan dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya.

Sementara itu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) turut menyambut baik ketegasan Sivakumar yang memberi amaran kepada majikan memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga kerja asing yang diambil melalui pelan kelonggaran kuota.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, berkata pihaknya juga ada menerima aduan mengenai pekerja dibuang sebaik saja menerima kehadiran pekerja asing dan perkara itu sudah diadukan kepada KSM.

“Pihak berkuasa tidak wajar bertoleransi dan berkompromi dalam perkara ini. Sebagai sebuah negara yang memerlukan sumber tenaga kerja yang cukup dalam memenuhi keperluan dan cabaran pertumbuhan lestari, UNI-MLC menyambut dasar kerajaan membenarkan pengambilan pekerja asing yang baharu di sektor kritikal.



“Malangnya, tindakan sesetengah majikan membuang dan menghentikan pekerja tempatan dan kembali kepada pekerja asing sepenuhnya adalah satu tindakan tidak wajar, tidak masuk akal dan tidak harus dipandang mudah,” katanya.

Beliau berkata, amalan sedemikian juga satu pendekatan tidak berperikemanusiaan kerana majikan tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan diri tanpa mahu menjaga hak dan kebajikan pekerja tempatan.

Malah, katanya, kelulusan diberikan kepada majikan terbabit wajar ditarik balik dan wajar disenaraihitamkan.

“UNI-MLC menyokong tindakan tegas yang akan diambil kerajaan dalam perkara ini dan berharap majikan yang tidak bertanggungjawab itu tidak diberi peluang kedua sebagai pengajaran supaya tidak mengkhianati pekerja tempatan.



“Tindakan sesetengah majikan seperti itu secara langsung akan menggagalkan dasar negara menggaji pekerja tempatan.

“Malah tindakan mereka boleh mencemarkan imej dan reputasi Malaysia di peringkat global, terutama dalam kaca mata Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.

Mohamed Shafie berkata, pihaknya juga khuatir dasar mengutamakan pekerja tempatan akan gagal dan negara terpaksa bergantung kepada pekerja asing buat selama-lamanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button