Kurang siuman rupanya…
Kota Marudu: Lelaki yang membuat ‘kecoh’ di sebuah pasar raya, di sini, Isnin lalu hingga mengundang rasa kurang senang pengunjung dipercayai kurang siuman.
Dalam kejadian 2.55 petang itu, lelaki berusia 36 tahun didapati berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di dalam dan sekitar pasar raya berkenaan sebelum orang ramai memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, bertindak atas aduan itu, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi berkenaan dan mendapati lelaki terbabit bercakap seorang diri dalam bahasa yang tidak difahami.
“Lelaki itu turut meninggikan suara kepada anggota polis sebelum ditenangkan. Dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek yang berasal dari Kudat dipercayai kurang siuman.
“Lelaki itu datang ke Kota Marudu untuk berjalan-jalan dan tidak mendatangkan ancaman kepada orang awam, malah dia juga negatif dadah.
“Cuma kelakuannya di pasar raya berkenaan mengundang rasa kurang selesa kepada pengunjung berikutan mereka tidak mengetahui keadaan sebenar,” katanya memaklumkan lelaki itu dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu untuk pemeriksaan lanjut.
Terdahulu, tular satu video dalam media sosial memaparkan lelaki berkenaan ditahan di premis terbabit sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
METRO