Pengecualian pembaharuan lesen memandu tamat 31 Ogos, orang ramai diberi 30 hari lagi untuk perbaharui

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pembatalan pengecualian ini adalah selaras dengan kuasa menteri di bawah seksyen 66(1)(x) dan 127 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengecualian) 2020.

“Bagaimanapun, orang ramai yang memiliki LMM dan LKM yang tamat tempoh masih diberi masa untuk memperbaharuinya dalam tempoh 30 hari sehingga 30 Sept 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini memberikan pengecualian pembaharuan LMM dan LKM kepada orang ramai sejak Mac lepas bagi mengelak kesesakan di kaunter-kaunter agensi-agensi berkaitan, sebagai salah satu inisiatif mengekang penyakit COVID-19.

Pengecualian itu membenarkan orang ramai memandu dan menggunakan kenderaan masing-masing semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan walaupun LMM atau LKM mereka telah tamat tempoh, dengan syarat kenderaan itu mempunyai perlindungan insurans yang sah dan masih berkuatkuasa.



Wee seterusnya mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih dan tidak menyebarkan berita-berita palsu serta sentiasa sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara ketika mengunjungi kaunter JPJ atau mana-mana agensi dalam usaha membebaskan negara sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker