Ultimate 6 gabungan pemuzik otai rock tanah air

Oleh – Syeikh Baran


Ultimate 6 gabungan pemuzik otai rock tanah air

Menggabungkan bekas ahli kumpulan rock otai, Ultimate 6 ditubuhkan bagi memberi kelainan kepada peminat muzik rock tanah air di era 80-an dan 90-an dengan memperjuangkan konsep unik.



Memberikan sentuhan istimewa terhadap dendangan malar segar yang disuntik elemen susunan melodi baharu, setiap seleksi dendangan rock suatu ketika dulu dijadikan sandaran enam anggota band tersebut.

Komposer, Belle Fatah selaku wakil kumpulan itu berkata, Ultimate 6 yang menyatukan pemuzik berpengalaman termasuk bekas ahli XPDC, Kamikazee, Laksamana dan CRK direalisasikan untuk membawa pembaharuan dalam arena hiburan tempatan.

“Tercetusnya idea penubuhan Ultimate 6 dengan menggabungkan bekas anggota kumpulan rock dalam satu projek band ini sebagai alternatif dalam persembahan pentas muzik.

“Setiap teraju yang dipilih mempunyai kekuatan tersendiri dan mempunyai peminat masing-masing dengan memberikan kebebasan berkarya, sekali gus menawarkan sesuatu yang berbeza.



“Lagu yang menjadi sandaran disuntik nafas baharu dan kami juga berharap anak muda yang ingin bermain muzik secara serius dapat menjadi Ultimate 6 sebagai rujukan,” katanya.

Selain Belle selaku pemain keyboard atau nama sebenarnya Fatah Hassan Said, band berkenaan turut ditunjangi Trex sebagai vokalis yang juga dari Kamikaze, Lola XPDC (dram), Eddie CRK (bass), Omar Akira (Laksamana) serta gitaris bernama Aliff Putra, dikenali sebagai Steve Vai Singapura.

Pada masa sama, penubuhan Ultimate Six juga dilihat bakal merancakkan lagi industri rock tanah air supaya kekal relevan dengan membawa kelainan pada setiap persembahan.

Akui Belle lagi, peminat rock berpeluang mendengar alunan lagu popular rock era kegemilangan di bawah sentuhan pemuzik yang rata-rata berpengalaman lebih dua dekad dalam arena hiburan.



Sebagai pemanas, kumpulan yang ditubuhkan lebih setahun lalu itu mengadakan mini showcase berkonsep di HangOver Café Petaling Jaya di hadapan lebih 100 penonton.

Antara seleksi yang dipersembahkan dengan nafas baru adalah Seruan nyanyian asal Lefthanded, Taman Rashidah Utama (Wings), Pelesit Kota (Serch) dan medley dari Scorpion.

Peminat yang hadir menyatakan rasa puas mengikuti aksi bertenaga dari setiap ahli Ultimate 7 bahkan Trex selaku penyanyi juga membawa setiap lagu dengan baik .

Mereka kini dalam perancangan untuk mengadakan satu lagi mini konsert dengan gabungan beberapa band rock popular tanah air.



Bagi yang ingin mengikuti showcase pertama band tersebut, ia dapat disaksikan dalam platform digital iaitu Youtube dan Tiktok.

Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button