EU terus sekat ekonomi Russia

EU terus sekat ekonomi Russia

EU terus sekat ekonomi Russia
PENUNJUK perasaan memegang sepanduk dan mengibarkan bendera semasa perhimpunan solidariti untuk Ukraine di Dataran Copley di Boston, Massachusetts minggu lalu.-AFP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) akan terus mengenakan sekatan ekonomi terhadap Russia sehingga republik itu menghentikan kempen ketenteraannya di Ukraine.

Perkara itu ditegaskan Duta Delegasi EU ke Malaysia, Michalis Rokas kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual di pejabatnya di sini Selasa lalu.

Menurut beliau, blok EU sama sekali tidak akan berdiam diri sebaliknya akan terus menambah lebih banyak sekatan baharu terhadap Russia yang dilihat masih berdegil.

“Sekatan itu akan berterusan, malah kami akan mengenakan pakej sekatan baharu lain selagi Moscow tidak menghentikan peperangan dan menarik balik pasukan tenteranya dari Ukraine.

“Kita tidak boleh membiarkan sesebuah negara itu dengan sesuka hati cuba menawan negara lain tanpa kewajaran yang munasabah dan mencetuskan situasi huru-hara sehingga memberi kesan kepada seluruh dunia,” katanya.



Baru-baru ini, EU meluluskan pakej sekatan ke-10 terhadap Russia sempena genap setahun pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

EU BERSEPAKAT

Dalam pada itu, Rokas menolak dakwaan kononnya Jerman satu-satunya negara anggota EU yang tidak menyokong sepenuhnya tindakan blok itu menentang Russia.

Rokas menegaskan semua negara EU itu bersepakat dalam setiap keputusan yang dibuat membabitkan Russia.



“Semua keputusan yang dibuat sejak peperangan bermula sehingga kini, dilakukan secara sebulat suara termasuk pakej sekatan ke-10 yang diluluskan baru-baru ini.

“Sudah tentu, ia tidak mampu dicapai sekiranya ada anggota negara kami yang tidak bersetuju dengan langkah itu.

“Malah, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam EU, kami menggunakan dana sejumlah 3.6 bilion Euro (RM17.08 bilion) di bawah EU Peace Facility (EPF) untuk membiayai peralatan ketenteraan untuk Ukraine. Ini juga dipersetujui secara bersama,” katanya.

UKRAINE SEBAGAI PLATFORM

Mengulas lanjut, Rokas turut menafikan tuduhan bahawa EU dan Barat menggunakan Ukraine sebagai platform untuk `meraih keuntungan’ daripada konflik itu.

Katanya, kedua-dua pihak itu tidak memberi sebarang ancaman terhadap Russia mahupun mana-mana wilayahnya.

“EU dan Amerika Syarikat (AS) tidak pernah mengancam atau merancang untuk menyerang kedaulatan wilayah Russia dalam apa cara sekalipun. Tiada niat langsung, kami percaya kepada sistem demokrasi serta hak dan kebebasan yang diamalkan sesebuah negara.

“Malah, kami berpandangan setiap negara berhak membuat keputusan sendiri termasuk mahu menyertai pakatan mana seperti Ukraine yang sudah lama berhasrat untuk menjadi sebahagian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan EU.

“Ketika dunia sedang bergelut untuk pulih daripada impak pandemik Covid-19, tindakan seorang individu yang mementingkan diri dengan sanggup melancarkan perang mengakibatkan seluruh masyarakat menanggung kesannya,” katanya.

TERUS BEKALKAN SENJATA

Sementara itu, Rokas berkata, EU komited untuk terus membekalkan senjata kepada Ukraine sehingga negara itu menang dalam perang dengan Russia.

Ini kerana, sekiranya bekalan senjata terhenti, maka satu-satunya perkara yang mungkin boleh berlaku adalah Russia akan menduduki Ukraine sepenuhnya.

“Hakikatnya, jika EU tidak memberi bantuan kepada Ukraine, sudah pasti ada kemusnahan. Russia akan menduduki seluruh negara dan tidak akan berhenti di situ kerana dasar imperialisme yang dibawa mereka.

“Saya katakan ini dengan tegas kerana melihat apa yang berlaku di Moldova, Georgia serta negara-negara Baltik. Anda boleh nilaikan sendiri.

“Russia yang juga merupakan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara terang-terangan melanggar Piagam PBB. Jadi, Moscow bukan hanya menakluk Ukraine tetapi membawa kemusnahan pada skala yang amat besar,” katanya.

Pemilihan UMNO 2023: Calon Yang Menjadi Pilihan Utama Akar Umbi UMNO

EU terus sekat ekonomi Russia

DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Pemilihan UMNO 2023: Calon Yang Menjadi Pilihan Utama Akar Umbi UMNO

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker