11 diambil keterangan dakwaan pecah amanah wang MAINS

SEREMBAN: Seramai 11 individu daripada pelbagai peringkat, sudah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kes pecah amanah membabitkan wang zakat milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, memaklumkan kertas siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).

“Polis Negeri Sembilan menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sudah melengkapkan siasatan dan pada 2 Mac lalu kertas siasatan juga sudah dihantar semula kepada Timbalan Pendakwa Raya

“Setakat ini seramai 11 kenyataan (individu) sudah diambil dari pelbagai jawatan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini siasatan kekal di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, namun ia terpulang kepada pihak pendakwaan sekiranya terdapat unsur jenayah lain.

Ditanya mengenai sama ada 11 individu berkenaan adalah kakitangan MAINS atau sebaliknya, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci, tetapi memberitahu mereka terdiri daripada pelbagai peringkat.

Mengulas sama ada terdapat individu lain yang akan dipanggil untuk memberi keterangan, Ahmad Dzaffir berkata, ia terpulang kepada pandangan dan nasihat pihak pendakwaan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang sedang dilakukan.

“Mereka yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial juga boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Sebelum ini, tersebar dakwaan di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat MAINS yang membabitkan jutaan ringgit.

Difahamkan, pemilik Telegram berkenaan mendakwa SPRM sudah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.

Dakwanya, ia dipercayai disebabkan kerajaan Negeri Sembilan dan orang politik cuba melindungi perkara sebenarnya yang berlaku.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker