Khemah kubikel PPS pun kena ‘tapau’
Segamat: Walaupun khemah kubikel disediakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) memberi keselesaan kepada mangsa bencana, namun ada segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan membawa balik khemah berkenaan.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat Mohamad Kamil Helmi Mohd Pang berkata perlakuan yang jelas melanggar arahan berkenaan, biasanya dilakukan ketika sesebuah PPS itu ditutup.
“Mereka berkenan, mereka rasa cantik, kemudian bawa balik. Contoh bila kita buka 1,000 khemah, biasanya dalam seratus atau dua ratus khemah mesti hilang, ” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Gemereh, di sini.
Beliau berkata kebiasaannya setelah selesai digunakan, khemah kubikel berkenaan akan disimpan di pelbagai stor seperti stor JKM, sekolah atau balai raya bagi memudahkan ia disalurkan segera kepada PPS yang dibuka.
Katanya Yayasan Sultan Ibrahim Johor juga telah menyumbang sejumlah 25,000 khemah kubikel pada awal tahun lalu bagi kegunaan mangsa banjir di PPS, dengan 10,000 diagih kepada JKM Johor dan 15,000 kepada APM Johor.
Sementara itu, seorang penghuni PPS Zarina Talib, 43, berkata sebelum ini dia sering berasa gusar, risau dan agak berat hati untuk berpindah kerana memikirkan ketidakselesaan dan tiada privasi jika berada di PPS.
Zarina yang berasal dari Kampung Seberang Badak, di sini berkata jika tujuh atau lapan tahun lepas, keadaan di PPS kurang selesa kerana keluarga ditempatkan secara bersama dalam satu-satu tempat, tanpa ada sebarang penghadang yang memisahkan antara setiap keluarga.
Ibu kepada seorang anak perempuan berusia 15 tahun itu berkata keadaan sedemikian kurang menyenangkan terutamanya bagi wanita yang sedang dalam tempoh berpantang kerana tiada ruang peribadi untuk mereka.
Bagaimanapun suri rumah itu, yang sudah hampir lapan kali berpindah ke PPS, menyedari saban tahun, kemudahan di PPS semakin baik, dengan perubahan paling ketara dari segi aspek pengurusan penginapan sekeluarga dengan membekalkan khemah kubikel.
Sehubungan itu, beliau berkata tindakan tidak bertanggungjawab penghuni PPS yang mengambil khemah kubikel berkenaan patut dihentikan kerana ia akan menyusahkan mangsa bencana lain selepas ini.
Sementara itu, seorang lagi penghuni PPS di SK Gemereh, Rahmat Abdul Latif, 73, berkata khemah berkenaan amat selesa kerana saiznya yang lebih besar, tinggi dan berkualiti.
Katanya, orang ramai sepatutnya menjaga kemudahan berkenaan dengan lebih baik kerana ia adalah untuk kegunaan bersama dan bukannya hak milik persendirian.
“Cuma kalau saiz khemah kubikel disediakan mengikut bilangan ahli sesebuah keluarga adalah lebih mudah. Contohnya kalau mangsa seorang sahaja boleh bagi khemah lebih kecil,” katanya.
METRO