Kanak-kanak overdose dadah masih perlu rawatan susulan

KOTA BHARU – Kanak-kanak lelaki yang dikesan mempunyai kandungan dadah tinggi dalam badan Jun lalu masih perlu mendapatkan rawatan susulan termasuk daripada pakar otak.

Rohaya Hassan, 36, berkata anaknya yang berusia empat tahun itu masih perlu membuat pemeriksaan susulan bagi melihat perkembangan akibat dadah terlebih dos.

Beliau berkata, anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu sepatutnya menghadiri temu janji dengan pakar telinga semalam di Hospital Kuala Krai tapi gagal hadir disebabkan kesihatannya yang semakin teruk akibat kanser payu dara tahap akhir.

“Sepatutnya semalam anak saya hadir temu janji tapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan dan sudah beberapa hari saya terbaring dengan bergantung kepada ubat.



“Selain pakar telinga, dia juga perlu dirujuk kepada doktor pakar otak dan saya dimaklumkan jika masih ada kesan akibat ‘overdose’ dadah, dia perlu menjalani pembedahan.

“Saya berharap sangat kesan dadah itu tidak serius seperti yang dijangkakan kerana jika anak saya kembali dimasukkan ke wad, saya tidak yakin akan mampu menguruskan dia lagi kerana keadaan kesihatan saya yang semakin lemah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rohaya berkata, anak bongsunya itu mengalami masalah kesihatan sejak lahir dengan keadaannya yang tidak dapat bertutur normal dan masih bertatih sehingga kini.

Katanya, walaupun anaknya itu semakin pulih, ada kebimbangan jika kesan dadah itu kekal dan mempengaruhi perkembangan diri.



“Anak saya sudah mampu memanggil abah kepada datuknya (bapa Rohaya) yang membesarkannya kerana kami menetap dengan ibu bapa saya di sini yang menyara hidup dengan menoreh getah sahaja.

“Saya bimbang jika apa-apa berlaku kepada saya suatu hari nanti, apa nasib dia kerana sekarang pun saya sudah semakin lemah malah sakit yang ditanggung ini hampir setiap saat dirasakan,” katanya.

Dalam kejadian 18 Jun lalu, kanak-kanak yang berasal dari Kampung Sri Bintang, Dabong, Kuala Krai, kritikal dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana dikesan terdapat methampethamine dalam badannya ketika di bawah jagaan seorang saudaranya.

Kanak-kanak itu dirawat di Unit Rawatan Rapi selama beberapa hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir tiga minggu menerima rawatan.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker