Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Hospital Sultanah Hajjah Kalsom

Cameron Highlands: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini, hari ini.

Ketibaan Tunku Azizah pada pada 10.15 pagi disambut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan kakitangan hospital.

Turut hadir Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor serta Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.



Tunku Azizah meluangkan masa kira-kira sejam melawat sekitar hospital yang beroperasi sejak 2007 itu dan berkenan mendengar taklimat daripada beberapa orang kakitangan.

Seri Paduka kemudiannya berharap agar hospital berkenaan ditambah baik dari segi fasiliti dan dilaksanakan penambahan kakitangan supaya rakyat setempat serta pesakit dari negeri berhampiran dapat menggunakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik.

Raja Permaisuri Agong kemudiannya berangkat pulang pada 11.15 pagi.

Hospital Sultanah Hajjah Kalsom ketika ini mempunyai kapasiti 40 katil, empat wad, empat bilik bersalin dan dua dewan bedah.



Kakitangan hospital itu pula terdiri daripada 229 anggota pelbagai jawatan termasuk 16 Pegawai Perubatan, 58 jururawat dan 20 Penolong Pegawai Perubatan.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button