Ten Hag berang aksi di babak kedua

LIVERPOOL: Erik ten Hag berang dengan persembahan Manchester United kendaliannya yang dibelasah 7-0 oleh Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Anfield.

Seminggu selepas menjuarai Piala Liga – trofi pertama United selepas enam tahun – kelab Old Trafford itu dipaksa kembali berpijak di bumi nyata oleh anak buah Jurgen Klopp.

Rembatan Cody Gakpo meletakkan Liverpool di depan sebelum rehat dan persembahan United di babak kedua amat mengejutkan apabila mereka dibolosi enam gol lagi.

Gakpo, Darwin Nunez dan Mohamed Salah masing-masing meledak dua gol pada perlawanan itu dengan pemain gantian, Roberto Firmino melengkapkan kemenangan.

Kekalahan di Anfield itu menyamai rekod kekalahan terbesar mereka dalam aksi kompetitif – menentang Blackburn pada tahun 1926, Aston Villa (1930) dan Wolves (1931) – dan ia membuatkan Ten Hag naik angin.

“Keputusannya amat jelas. Ia tidak profesional. Tetapi saya rasa perbezaannya cukup besar berbanding di Brentford (pada Ogos). Kami ketinggalan 4-0 pada babak pertama, jadi kami memulakan permainan dengan teruk.

“Hari ini, babak pertama, saya rasa kami pasukan lebih baik. Kami mencipta peluang lebih baik dan dua kali berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, mereka tidak.

“Kemudian sebelum rehat kami melakukan kesilapan dan dibolosi, jadi saya rasa kami masih mampu mengejar.

“Tetapi ia amat mengejutkan selepas rehat kami seakan menyerah kalah. Dua gol pertama, kami melakukan kesilapan.

“Gol ketiga hasil serangan balas, juga kesilapan kami dalam membuat keputusan. Selepas itu terus kucar-kacir.

“Sebagai satu pasukan anda perlu bersatu dan itu yang kami tidak lakukan, dan ia amat mengejutkan saya.

“Saya tidak pernah melihat pasukan saya sebegini dan saya rasa ia bukan kami. Saya tidak rasa ia Manchester United, jadi ia amat buruk dan menyedihkan,” kata Ten Hag.

Kekalahan pertama selepas 22 perlawanan itu merencatkan misi United untuk memburu Arsenal di puncak liga.

United yang menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, ketinggalan 14 mata di belakang Arsenal yang bermain lebih satu perlawanan.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker