TLDM diatur gerak bantu mangsa banjir

Segamat: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui KD Sultan Ismail di Pengerang, Johor buat pertama kalinya diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di Segamat di sini.

Pegawai Waran II Teknisyen Marin Kuasa Gerak KD Sultan Ismail Pengerang Johor, Mohd Shahriman Saim berkata, setakat ini, dua pasukan yang masing-masing terdiri daripada 12 dan 14 anggota, ditempatkan di Segamat dalam tempoh empat hari bagi satu pasukan bermula Rabu lepas.

Menurutnya, sebelum ini, pasukan ‘wira laut’ itu membantu mangsa banjir di Kota Tinggi dan kali pertama ditempatkan di daerah ini.

“Kami tidak tahu selok-belok kawasan Segamat dan memerlukan bantuan penduduk setempat dalam operasi banjir kali ini.



“Cabaran kami kali ini perlu berhadapan dengan arus deras dan perlu berhati-hati dalam mengendalikan bot untuk memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada Bernama, ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Shahriman berkata, setiap pasukan dilengkapkan dengan sebuah bot, lori tiga tan dan dua set menyelam.

Beliau berkata, operasi banjir kali ini termasuk mengeluarkan mangsa terkandas ke PPS, menghantar bantuan makanan dan bantuan logistik.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melawat mangsa banjir di sini mengumumkan seramai 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor membabitkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan ATM, Kor Jurutera Diraja ATM dan bahagian teknikal.



Susulan kejadian banjir teruk di Johor, pihaknya turut menghantar anggota tentera laut buat pertama kali bagi membantu mangsa banjir bersama agensi kerajaan lain di Segamat.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker