‘3 kali Tun M ugut nak pecat saya’ – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, mendakwa diugut untuk dipecat sebanyak tiga kali oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menentang pemimpin itu sewaktu beliau memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan.

Guan Eng berkata, ugutan itu diterima selepas beliau berjaya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap menteri untuk tiga inisiatif yang sebelum itu tidak dipersetujui bekas Perdana Menteri berkenaan.

Tiga inisiatif dibantah Mahathir itu membabitkan pemberian peruntukan tahunan RM3.8 juta kepada Ahli Parlimen kerajaan, selain kajian semula kontrak kerajaan yang diberikan melalui rundingan terus dan tanpa tender terbuka serta cadangan tender terbuka untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti awam.

Turut dibantah Mahathir inisiatif pengurangan 18 peratus lebuh raya tol PLUS sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan tol.

Guan Eng berkata, beliau berjaya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap menteri untuk ketiga-tiga inisiatif yang menimbulkan kemarahan Perdana Menteri.

“Pada setiap tiga peristiwa Mahathir ditolak oleh Kabinet, dia mengugut untuk memecat saya kerana menentangnya atas tiga inisiatif ini.

“Saya bersedia untuk dipecat tetapi terus melaksanakan inisiatif pembaharuan yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Bagaimanapun Mahathir tidak melaksanakan ugutannya, sebaliknya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas kerelaan sendiri pada Februari 2020,” katanya melalui Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir baru-baru ini yang mendakwa DAP tidak mampu mengawalnya semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan, terpaksa meminta kebenaran daripadanya sebelum mahu melakukan sesuatu dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata Menteri Kabinet semestinya memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai sebarang inisiatif pembaharuan yang ingin dicadangkan.

Katanya, ia bukan sahaja amalan kebiasaan tetapi juga kerana menghormati kedudukan Perdana Menteri.

Namun, beliau berkata sekiranya Perdana Menteri tidak bersetuju, satu-satunya alternatif yang tinggal kepada menteri ialah merayu kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.

“Ini telah saya lakukan sebanyak tiga kali semasa menjadi Menteri Kewangan antara 2018 hingga 2020 dalam mendapatkan kelulusan Kabinet berbanding bantahan keras Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker